YwkvRmuKGCTYn_F5guLVG8pAhRA

Saturday, August 24, 2013

Yang Menjadi Pilihan

Kuih/biskut yang dihidang untuk sahabat handai yang datang berkunjung di rumah..Kuih Lidah, Biskut Ulat Bulu, Kuih Makmur, Tart Nanas, Almond London..err lupa pula nama kuih kaler cekelat sebelah Tart Nanas tu..

Dan yang menjadi pilihan mereka ialah Kerepek Popia..

 Hari Raya 2013..
Kerepek Popia tu laju je habis. Laku berbanding kuih-kuih yang lain. Budak-budak yang datang berkunjung, paling suka makan kerepek ni. Nanti saya kongsikan macam mana cara buat Kerepek ini ya. Saya belajar buat kerepek ini dari seorang akak..Akak yang selalu tolong oderkan Kuih Lidah dari Papar untuk saya..


p/s: Maaf, belum terbalas jejak korang semua..Nanti saya palan-palan pi rumah kamurang ya..:).Siaurang masih dalam Mood Raya..hehe...

Sunday, August 18, 2013

Dalam Perjalanan

Memulakan perjalanan dari Sandakan jam 12:30 tengahari dan sampai di rumah sekitar jam 6 lebih petang...

Dalam perjalanan kembali ke Kota Kinabalu, ada kereta yang memotong jalan dengan cara yang kurang menyenangkan hati. Ada juga yang baik hati bagi signal bagitau depan tiada kereta dan bagi can memotong..

Makan bekal
Dalam perjalananan..Hero bongsu..Yusuf, kali ini dia tidak muntah. Waktu dia tidak tidur, asyik bermain dengan kereta kecilnya itu. Kereta kecil kepunyaan abang sepupunya yang ditapau sebelum memulakan perjalanan..:)..Bosan main, makan pula kuih yang dibekalkan oleh ibu mertua sambil menyanyi ikut lagu yang dipasang.

Kabus di Pekan Nabalu dan
Hujan di Kundasang
Dalam perjalanan..Hujan turun menyebabkan jalan licin dan kabus menghalang penglihatan. Risau juga kalau-kalau ada tanah runtuh atau pokok tumbang. Tapi Alhamdulillah perjalanan berjalan dengan lancar dan kami sekeluarga semuanya selamat sampai..:)

Monday, August 5, 2013

Kemas-Mengemas

Sedang kemas-mengemas pakaian untuk seminggu di kampung Mr.Sawo. Bertolak 8hb ini nanti. Masukkan apa yang perlu ke dalam beg besar. Kalau orang tengok beg yang saya gunakan ini, macam pindah rumah pula. 

Sambil kemas-mengemas sambil juga fikirkan kuih yang belum siap dibuat. Masih sempat lagi buat satu jenis kuih malam ini. Lama juga kerja kemas-mengemas tadi, sebab ada gangguan tangan comel si kecil yang semakin bijak sekarang. Sudah dilipat kemas-kemas dan masukkan dalam beg, dikeluarkan pula satu persatu semula oleh si kecil Nur Maryam..adeh..terpaksa lipat semula..

Sedang kemas-mengemas juga, terbayang-bayang kuih makmur dan Lamban buatan ibu mertua. Dua benda ni memang tidak pernah tidak ada setiap Hari Raya. Berhenti membayang dan cepat-cepat tarik zip beg sebelum si kecil bertindak mengeluarkannya semula. Sambung balik kerja kemas-mengemas ni esok hari. Masih banyak yang belum terkemas lagi.


Kepada sahabat-sahabat semua, saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri..:)..Maaf dipohon kalau ada tersalah silap dalam entry ataupun terkasar bahasa dalam komen di entry korang semua..Terima kasih banyak-banyak kepada korang semua sebab selalu datang berkunjung di sini..

Sunday, August 4, 2013

Biskut Ulat Bulu

Biskut Ulat Bulu ini antara kuih kegemaran saya dan juga anak-anak..Dan menjadi salah satu biskut yang mesti ada di Hari Raya. Saya mula belajar buat biskut ini dari sepupu saya. Nama agak pelik tapi rasanya sangat sedap dan tiada rasa gatal hehe..

Ini bahan-bahannya:
  1. 1 cawan tepung jagung (ayak)
  2. 2 cawan tepung gandum (ayak)
  3. 1 buku mentega
  4. 3 biji kuning telur
  5. 1 sudu esen vanila
  6. 1 sudu perisa pandan
  7. Pewarna hijau
  8. Gula halus untuk ditabur
  9. Kurma untuk inti

Cara buat mudah sahaja:
  • Pukul mentega bersama-sama telur kuning sampai kembang.
  • Masukkan perisa pandan, esen vanilla dan sedikit pewarna hijau. Kemudian pukul. Pewarna tu jangan banyak sangat nanti terlebih hijau pula nanti.
  • Masukkan tepung Jagung dan tepung gandum sedikit demi sedikit. Agak-agaklah adunan boleh dibentuk. Tepung gandum tu tidak perlu dihabiskan.
  • Ambil doh sebesar duit 50 sen. Kasi leper dan masukkan inti kurma.
  • Gulung dan bentukkan memanjang dan tekan gunakan garfu. Kalau mahu cantik bentuknya, letak atas(tengah)tapak tangan dan genggam tangan. Jangan kuat-kuat terkeluar pula nanti intinya..
  • Masukkan dalam loyang dan bakar dalam suhu 170 selama 15-20 minit. 
  • Taburkan gula halus pada biskut sebagai bulunya..:)

Akak jiran depan rumah kata tabur ketika biskut tu suam-suam supaya gula halus tu melekat dengan cantik. Tapi saya tabur masa biskut ni sudah sejuk. Sudah masuk bekas baru tahu petua ni huhu..

resepi biskut ulat bulu
Dua Puteri yang rajin sedang membentuk jem nanas..

Boleh juga guna inti jem nanas. Akak tadi tu yang tunjukkan. Saya cuba dan sedap juga rasanya. Inti kurma atau inti jem nanas bagi saya kedua-duanya pun sedap di makan.. 

biskut ulat bulu
Biskut Ulat Bulu

Dengan bantuan dua orang puteri di atas tu, maka terhasillah Biskut Ulat Bulu untuk Hari Raya tahun ini. Terima kasih puteri-puteri yang ringan tulang kerana telah membantu menghasilkan Biskut kaler ijau ni..:)

p/s: Lagi sedap jika ditambah minyak sapi..Kira-kira 4 sudu macam tulah

Saturday, August 3, 2013

Gunting Rambut

Layan jer lah Hero-Hero ni sedang bergunting rambut. Rambut Raya kunun ..:)

 Hero: Gunting rambut kasi nipis tepi jak ya Mummy..
MaMaRey: wokey nak..

 Hero: hehe..encem suda saya..nda sabar mau Raya..:)
MaMaRey: yalah tu..encem lah tu..

Hero: Mummy..potong rambut jan kasi kena mata..
nanti saya nangis..
MaMaRey: wokey..tutp mata lah ya..

Baru separuh gunting, air mata mula mengalir sebab tidak tahan dengan gatal kena rambut di badan..
Sorry nak..Bergunting dekat rumah tiada penutup macam dekat kedai gunting tu..

Hero: encem kan saya hehe..
makaci Mummy tolong gunting rambut saya..
Lepas ni gunting di kedai jak lah ya Mummy..
MaMaRey:..:(


p/s:Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan anak saya dan juga yang sudi memberi tips/petua kepada saya. Hanya Allah saja yang dapat membalas kebaikan korang. Terima kasih sahabat..Pounsikou Tambalut..:)

Friday, August 2, 2013

Diserang Asthma Lagi

Hero ke-4 saya diserang asthma lagi. Capai beg..capai jaket..Tinggalkan bahan-bahan yang sedang saya sediakan untuk dimasak sahur nanti. . 12:55 am...Saya ditemankan Mr.Sawo, segera bergegas ke hospital berdekatan untuk dapatkan rawatan lanjut. Kesian tengok dia...sesak nafas dengan tiba-tiba time tengah-tengah malam. 

Di hospital..

Kurang 10 minit sampai di hospital. Nasib baik lah juga keaadaan jalan masa itu kurang sibuk. Sampai saja terus masuk wad kecemasan dan Hero saya diberi rawatan segera. Saya duduk disebelahnya. Temankannya sambil tongkat dagu. Terhidu pula bau bawang..Bau bawang datang dari tangan sendiri hehe..Baru tersedar,tangan tiada basuh lepas potong bawang di rumah tadi. 

Lepas habis sedut ubat nurse suruh tunggu 20 minit, kemudian chek paru-paru. Alhamdulillah tiada bunyi lagi dan dibenarkan pulang rumah..Ubat yang diberi dalam bentuk biji. Nasib baik ubat yang diberi kecil comel-comel. Hero saya ni jenis yang mudah termuntah bila makan ubat..

Kira mencabar juga bila anak ada asthma. Dua anak saya punya masalah yang sama. Tapi yang seorang (abang) tu jarang-jarang kena. Si adik ni yang kerap diserang asthma. Inhaler sentiasa standby di rumah. Paling teruk serangan asthmanya waktu usianya setahun lebih. Jadi panik juga tengok dia tercungap-cungap sesak nafas macam lemas dalam air dengan tiba-tiba. 

Banyak sebenarnya situasi-situasi mencemaskan yang tidak dijangka melibatkan anak-anak ni. Salah satunya situasi ini...Dan situasi-situasi yang mencemaskan itulah telah menyebabkan saya mula belajar dan terus belajar sampai sekarang, supaya tidak merasa panik masa menghadapinya..Seboleh-bolehnya..HARUS BERTENANG..:)

Tuesday, July 30, 2013

Hidung Berdarah

Kelmarin Hero kedua saya memanggil..

"Mummy hidung saya berdarah"

Bila saya lihat, darah sedang mengalir dari hidungnya. Selalunya darah akan keluar dari hidung anak saya bila cuaca panas juga bila kena selesma.

Pertama kali hidung anak saya keluar darah rasa panik juga. Apa tidaknya bila melihat darah merah pekat segar tiba-tiba saja keluar dari hidungnya. Bila kes macam ini sebagai ibubapa seharusnya jangan panik. Nanti si anak pun akan terikut panik melihat hidungnya berdarah..(Pengalaman saya..)..HARUS BERTENANG..:)
Penyebab mimisan
Hidung berdarah
sumber:google

Bagaimana menghentikannya?.. 

Ini yang selalu saya lakukan bila hidung anak saya berdarah:

  1. Saya akan suruh anak saya duduk menyandar dengan kepala kehadapan sedikit. Kalau sebelum ini saya akan suruh baring atau dongakkan kepala, tapi itu sebenarnya tidak betul. Saya dinasihatkan oleh seorang pembantu pegawai perubatan di sebuah hospital supaya jangan lakukannya. Sebabnya, darah akan masuk ke kerongkong seterusnya masuk dalam paru-paru dan perut yang boleh menyebabkan muntah.
  2. Lepas tu picit hidung dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Mulut pula mesti dalam keadaan ternganga supaya boleh bernafas. Hidung tutup, mulut tutup susah pula bernafas..Picit hidung biar cara yang lembut dan lama sikit... Dan dengan penuh kesabaran Hero saya memicit hidungnya yang kurang mancung itu sambil menonton rancangan bola kegemarannya.
  3. Letak ais di atas hidung. Sambil si Hero memicit hidung sambil juga bahagian batang hidung dibasahkan dengan air. Kebetulan stock ais dalam peti ais tiada, jadi air sejuklah jadi penggantinya.
  4. Beri minum air. Air segelas saya berikan pada Hero saya. Walaupun tidak berasa haus, terpaksa juga si Hero minum air yang saya berikan padanya.
Alhamdulillah...Tidak berapa lama kemudian darah berhenti keluar dari hidung Hero saya.

Mungkin korang pun ada pengalaman hidung berdarah macam anak saya. Kalau ada, bolehlah kongsi bersama bagaimana cara hentikan hidung berdarah. Atau pun petua yang mungkin korang tahu untuk hentikan pendarahan hidung.

Monday, July 29, 2013

Jiran Lama

Sedang sibuk cuci mencuci pinggan mangkuk dan sambil-sambil juga jeling-jeling si kuih dalam oven, terdengar bunyi ketukkan yang hampir-hampir tidak kedengaran..

knock..knock....knock..knock....

Halusnya ketukkan..Siapakah itu..?..
Hero buka pintu..Tersenyum seorang budak kecil sedang berdiri depan pintu sambil memberi sesuatu dari tangannya..

"Nah! Kuih Makmur..Mama buat"

"eh!..Apic lah..Lama nda jumpa..Masuklah..Mama mana?"

"Ndalah anty..(senyum lebar)..saya kijap ja ni"..Mama ada dalam kereta.."

Apic..anak jiran sebelah rumah saya dulu. Jiran lama saya..Rindu pula dengan si Apic ni. Masa tinggal berjiran dengan kami dulu, Apic dan kakaknya selalu datang ke rumah bermain dengan anak-anak saya. Riuh rendah rumah oleh mereka. Berkawan..bermain..bergaduh..lepas tu berbaik semula...hehe...

Dorang berpindah rumah sudah hampir 3 tahun..Datang ke rumah semata-mata beri Kuih Makmur untuk kami. Masih ingat lagi rupanya jiran lama dengan kami disini...Ingat juga Mama Apic yang saya ni suka sangat makan Kuih Makmur...:) Terima kasih Jiran Lama..:)

Sunday, July 28, 2013

Bekalan Habis

Bekalan Baru habis..Baru saja tadi cuci-cuci Rumpai Laut, hilangkan kotoran dan bau hanyirnya. Sekarang ini tengah duduk berendam dalam peti ais menunggu untuk dimasak esok hari. Hari tu masak 100grm, guna selama sebulan..Ambil sekali sehari. Dua sudu besar dicampur dengan air suam dan minum sebelum sarapan atau sebelum tidur. Kadang-kadang lupa sampai dua tiga hari. Bila ingat baru ambil..Semakin berumur semakin jadi pelupa pula..huhh..

Rumpai Laut (Hijau)

Suka dengan Rumpai Laut yang warna hijau ni. Baunya kurang berbanding dengan yang warna purple..Di Sabah memang senang dapatkan Rumpai Laut ni. Banyak di jual di tamu-tamu...

Paling best kalau gunakan Rumpai Laut ini sebagai mask. Jerawat kecut dengan sendiri dalam tiga empat hari macam tu. Saya lebih suka pakai di muka macam tu sahaja. Tiada campurkan apa-apa..

Saturday, July 27, 2013

Persiapan Raya

Baru saja siap masukkan kuih dalam bekas sebentar tadi. Semalam tidak habis masuk balang sebab si kecil Nur Maryam merengek-rengek minta diambil. Untuk persiapan raya tahun 2013 ini, buat kuih sikit-sikit sahaja dan macam biasa cuma beberapa jenis sebab tidak mahir bab buat kuih-muih ni. Semalam buat pun hangus mengelap sedulang kuih, sebab suhu tidak ngam hehe..

Pakaian pula..Tahun lalu punya Baju Raya masih okey..Masih muat dan masih boleh dipakai..Pakai pun sekali dua saja..Belikan sepasang kasut dan beberapa helai pakaian sahaja untuk anak-anak semua. Macam biasa juga dalam rumah pun tidak banyak yang ditukar. Persiapan ala kadar seperti tahun-tahun sebelum ini. 

Tahun lalu beraya di Kota-Kinabalu. Tahun ini pula balik Sandakan ikut Mr.Sawo. Rasa macam tidak sabar pula beraya tahun ini..:)..Cuma yang rasa tidak syioknya, mesti mabuk jalan bila dalam perjalanan balik Sandakan. Anak-anak..kompem ada yang muntah.

Okey lah..Layan dulu si kecil yang demam dicucuk jarum semalam. Sorry kawan-kawan yang jejaknya belum terbalas. Nanti saya datang ke tempat korang ya..:)..Layan anak dulu..

Tuesday, July 23, 2013

Main Bola Jentik

Permaianan yang selalu Hero-Hero saya main semasa hujung minggu atau selepas menyiapkan kerja-kerja sekolah..Saya tanya, "ni permainan apa"... Dorang jawab "Main Bola Jentik.."

Diperbuat daripada kotak kasut..
Kotak dipotong kecil. 
Kemudian dilipat dua jadi bentuk V macam pic di bawah ni..
Tiang golnya diperbuat daripada kertas..

5 lawan 5..
Kalau rajin potong kotak, 8 lawan 8 pun boleh..
(Hero yang kata hehe..)

Pasukan Kuning dan Pasukan Putih

Keciknya bola..Semut api lagi besar..
Pernah sekali join dorang main, 
bila jentik tercari-cari bolanya yang kecil sangat tu di bawah kerusi..

Cara main..
Letak kotak yang dipotong dekat bola kemudian jentik. 
Jentik perlahan atau sederhana..
Jentik kuat-kuat bila rasa geram sebab gol lawan lagi banyak hehe..

Bila ditanya mana dapat tahu main permaianan ni. Dorang kata tengok kawan main dan tengok kartun Upin dan Ipin..

Okeylah juga dorang main permainan ni. Sekurang-kuranngnya aktiviti macam ni dapat alihkan sikit perhatian anak-anak yang sedang berpuasa dari membayangkan makanan yang sedap-sedap.. Lagipun aktiviti ini tidaklah berat dan memenatkan dorang.:)

Monday, July 22, 2013

Menahan Sakit Perut Di Sekolah

Pagi tadi sekitar jam 11:30am, saya menerima panggilan dari guru kelas Hero keempat saya yang berumur 7 tahun. Cikgu tu bagi tahu, Dnil anak saya demam dan kelihatan pucat. Dengan segera saya hubungi Mr.Sawo yang sedang berkerja supaya cepat-cepat ambil Dnil di sekolah. 

Risau sebab anak saya ini ada asthma. Memang dia ada batuk-batuk sikit tapi demam tu tiada. Tanda-tanda sesak nafas pun tiada (biasa waktu malam dia kena serangan). Dia kelihatan okey dan ceria sahaja masa pergi sekolah awal pagi tadi.

Dari luar kedengaran bunyi kereta Mr.Sawo, berhenti parking dekat rumah. Bila dengar bunyi tapak kasut naik menuju pintu, cepat-cepat saya buka pintu. Nampak wajah Hero saya yang kelihatan pucat terus meluru masuk rumah dan terus masuk ke tandas. Saya sempat bertanya, "ada rasa sesak nafas". Dia menjawab "tiada"..

Lama juga dia duduk di dalam sana. "hmm..Sakit perut agaknya dia ni.."..Sebaik dia keluar dari membuang, saya bertanya..

" Dnil sakit perut ka..?"

"Iya..di sekolah tadi sakit sangat perut saya"

"Kenapa nda pi toilet?.."

"Cikgu tu pandai marah bah mummy..masa belajar nda bole kuar-kuar. Jadi saya tahan ja lah.."

"Bila lagi rasa sakit?.."

"Lepas rehat..."

Masa rehat sekolah ialah 9.50am~10.15am. Maksudnya dia menahan sakit perut di sekolah tadi selepas rehat hinggalah dia diambil dan sampai rumah dekat jam 12 tengahari. Hampir 2 jam... Kesian dia..Sambil sapu minyak angin di perut dia sambil saya terangkan pada dia yang cikgu tidak akan marah punya kalau ada minta kebenaran pergi ke tandas. Dia diam sahaja. Agaknya dia takut minta kebenaran sebab dia kata Cikgu Bahasa Melayu dia tu garang..

Selepas membuang tadi, baru nampak dia sihat. Muka pun tidak pucat lagi. Chek suhu badan pun okey. Muka riang ria ceria sambil makan Mee Goreng Sedap yang di masaknya sendiri..Makan bersama dengan si abang yang puasa hanya setengah hari sahaja..:)


Sedang masak Mee Sedap..
owhh..tak puasa ye...

Tuesday, July 16, 2013

Pokok Tumbang

Pagi tadi hujan turun lebat beserta ribut yang kuat. Cuaca yang agak merisaukan... Gambar di bawah ini saya dapat dari FB rakan-rakan saya tadi yang berkongsi tentang keadaan di luar sana. Banyak pokok yang tumbang di sana-sini. 


Pokok tumbang di Jalan Ranau


Angin kencang di Pekan Tamparuli...
Pokok tumbang, hempap kereta...


Pokok tumbang di Pekan Menggatal
Dengan akar-akarnya sekali tercabut..


Berhadapan dengan Center Point, Kota Kinabalu.
Lagi kereta dihempap oleh pokok yang tumbang.

Risau juga bila tengok keadaan macam ini..Anak-anak saya pesan jangan main luar rumah. Memang kalau cuaca kurang baik macam ini, anak-anak saya tidak benarkan bermain di luar..Ibu di kampung tadi pun sms saya supaya berhati-hati. Berdoa supaya tiada perkara yang buruk akan berlaku..

Tauhu Masak Sos Tiram

Menu yang saya sediakan untuk berbuka puasa petang ahad lalu, Tauhu Masak Sos Tiram. Masak selepas mencari bahan-bahannya di pasar ketika hujan lebat. Semangat mahu memasak. Hujan-hujan pun pegi ke pasar juga..hehe..

Resepi saya google untuk tengok bahan dan cara sediakan Tauhu Masak Sos Tiram ini..Tapi saya ubah ikut cara sendiri..Ikut suka hati..:)

Bahan-bahannya:
  1. Tauhu Telur/Jepun
  2. Sos Tiram
  3. Bawang putih,merah & halia} hiris halus
  4. Fish ball 
  5. Sayur-sayuran} ikut suka hati..
  6. Telur
Cara memasak, senang sahaja..

Tauhu dipotong dan digoreng sampai kekuningan. Ketepikan. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia. Masukkan fish ball yang dipotong dua. Masukkan sayur-sayuran pilihan hati. Masukkan Sos tiram. Masukkan telur. Saya ambil yang putih saja. Kacau..Lepas itu masukkan garam, gula, lada hitam/putih..Kemudian masukkan Tauhu yang digoreng tadi..Dan siaplah Tauhu Masak Sos Tiram saya..:)

(Banyaknya sebut masukkan hehe..)


resepi tauhu
Tauhu Masak Sos Tiram
Yang menjadi..:)

Ini lah dia hasil cubaan pertama saya memasak Tauhu Masak Sos Tiram..Tauhu kena potong tebal sikit supaya tidak rosak atau hancur waktu menggorengnya. Kalau potong nipis jadilah macam pic bawah ni..


tauhu dan mee goreng
Tauhu atas mihun..
Yang tidak Menjadi...:(

Saya potong nipis sangat. Bila digoreng, hancur macam pic di atas. Bubuh atas Mihun jak lah..Janji boleh makan. Walaupun hancur tapi sedap juga bah..hehe..


Sunday, July 14, 2013

Ada Bungkusan...

Hp berbunyi..Melalui nada deringnya saya tahu tu Mr.Sawo yang telefon..aikk apa hal tiba-tiba call..hrmm..minta sediakan sesuatu lah tu..

"Helo....ada bungkusan baru sampai ni.."
"Bungkusan?..Dari siapa tu?.."

Bila nama pengirim disebut..Owhh..dari rakan bolgger rupanya..Ole-ole dari Kak ANIM rupanya. Terima kasih atas pemberian ini Kak ANIM..:)

Ole-ole Beijing..

Bila buka bungkusanya..ada terselit sekeping nota pada ole-ole pemberian dari Kak ANIM...Hati sungguh gumbira bila dapat ole-ole ni..Maklumlah ini kali pertama saya dapat sesuatu dari rakan blogger. Siap bagi tengok Mr.Sawo lagi ole-ole yang datang dari jauh ini hehe..Dan juga bagi baca nota yang terselit itu..

comelkan.:)

Sampai sekarang belum rasmi lagi pengetip kuku ni..Masih tersimpan lagi..Tunggu kuku Nur Maryam panjang sikit..Bagi dia rasmi pengetip ni hehe..

Terima Kasih sekali lagi ya Kak ANIM..:)

Friday, July 12, 2013

Fikir Positif

Berbual dengan kawan lama..

"Saya ada cuba cari dorang tapi nda ada jumpa..Lama nda dengar khabar berita dari dorang kan.."

"ya bah..Kalau dorang ingat kita, dorang cari kita juga bah tu. Tapi siapalah bah kita ni kan..Kadang-kadang sedih juga saya sebab dorang nda ingat kita ni..Mungkin kita ni nda cukup bakti sama dorang, sampai dorang lupa kita.."

"Mungkin dorang pun sedang cari kita juga bah tu..tapi nda tercari..terjumpa kita..Macam kita juga cari dorang tapi nda jumpa atau pun dorang sangat sibuk...."

"ya..mungkin juga..Fikir positif saja bah kan..tq best friend..saya mau pulang dulu..nanti-nanti kita cerita lagi..."

kenapa perlu fikiran positif, teknik fikiran positif, maksud fikir positif

p/s: Fikir positif..Yang kita dapat juga pasti yang positif..Hidup pun lebih mudah dan tidak berserabut..:)

Tuesday, July 9, 2013

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa..:)

Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua kawan-kawan semua yang beragama Islam.. Semoga puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya..



Jangan lupa bangun sahur ya..:)


Monday, July 8, 2013

Bila Kasut Tiada Cuci

Semalam..Hero keempat saya, Dnil memanggil dari ruang tamu..

"Mummyyy..kasut saya belum cuci..lupa cuci..satu tu lagi masih basah..Tapi saya sudah kasi kapur..putih sudah..esok bole pakai pi skolah.."

Haiiyaa..Lupa cuci lagi ka..Minggu lalu kasut yang satu lagi beberapa hari duduk berendam dalam baldi. Sampai sekarang masih bersidai di luar.Belum kering lagi..Anak-anak sebenarnya mula belajar cuci kasut sendiri masa umur sekolah tadika. Setiap minggu dorang sendiri yang akan uruskan kasut sendiri..Mummynya cuma tukang cek bersih atau tidak hasilnya..


Kasut tiada cuci..

Bila saya tengok kasut yang dikapur oleh anak saya, tergelak saya dibuatnya. Dia kapurkan kasutnya yang kaler cekelat itu di bahagian tepi-tepi sahaja. Kalau cikgu tengok pakai kasut macam ini, kompem lah kena marah..Alahai anak.."Mari sini kasut tu..Mummy tolong kapurkan.."

kapur jak lah..

Bila di waktu kecemasan macam ini, terpaksa kapurkan sajalah kasut yang tidak bercuci itu. Nasib baik Si Kapur Bri-White ni ada.Tekan, picit lepas tu sapu seluruh badan kasut..Selesai satu masalah..Dan pagi tadi Dnil ke sekolah dengan memakai kasut yang dikapur semalam..:)

Tuesday, July 2, 2013

Tikar Upin Ipin

Beli Tikar Upin Ipin ini dengan seorang kawan dari Tawau..Suka dengan tikar ini sebab selain design dan warna yang cantik, permukaannya mudah dibersihkan. Kalau air  atau makanan tumpah di atasnya senang dibersihkan. Sesuai lah untuk saya yang punya anak kecil..

Mula-mula pakai Tikar Upin Ipin ini, anak-anak kecil saya terus suka dan tidak berhenti berjalan...melompat atas tikar tu..Tapi sekarang tengok lah pic bawah ni, habis dikerjakan oleh anak kecil saya...

tikar
Tikar Upin Ipin dikupas..dikopek..

Bahagian yang dikerjakan ialah si Upin dan si Ipin..Nampak tu, Ipin tinggal nampak kepala dia jak. Badan dan mukanya...Kelihatan kabur-kabur..

Sedang gigih bekerja..

Ini dia tukang kupas tikar..Mula-mula ingatkan si kecil ni sedang buat apa. Duduk diam-diam atas tikar tu. Rupa-rupanya sedang syiok-syiok mengupas..mengopek Tikar Upin Ipin tu..

hmmm...camna mau kupas Kak Ros ni..

Sedang perah otak agaknya hehe..

Thursday, June 27, 2013

Serunding Tuhau

Lagi satu makanan tradisional berasakan Tuhau. Tuhau lagi entry MaMaRey ni hihi..

Di sebabkan oleh permintaan oleh mama ini..(sorry Nas..lambat reply dan pic tiada) maka saya pun minta lah resepi berasaskan Tuhau ini dari ibu saya. Bahan-bahan dan cara memasaknya mudah sahaja. Semuanya digoreng kemudian di satukan bersama selepas menggorengnya...

Bahan-bahan:
  1. Batang Tuhau
  2. bawang merah
  3. bawang putih
  4. halia
  5. cili putih segar
  6. kacang tanah
  7. bilis
  8. limau
Cara-cara Memasak:(Goreng asing-asing)
  • Batang Tuhau dihiris halus kemudian di jemur hingga kelihatan kering.
  • Panaskan minyak kemudian goreng Tuhau tadi hingga kering. Ketepikan.
  • Goreng kacang tanah. Ketepikan
  • Goreng bilis. Ketepikan
  • Hiris bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian tumis bersama cili putih segar..
  • Selepas itu satukan semua bahan-bahan yang digoreng tadi.Bubuh lah garam dan gula ikut rasa suka hati. Kacau-kacau..siap..
  • Perahkan limau diatas dan boleh makan... 

*Jumpa resepi Ini di laman web MasterChef Malaysia. Salah satu bahan sosnya ialah Tuhau. Nas bolehlah cuba..:)

p/s: Terima kasih kawan-kawan semua yang bertanyakan khabar saya dan doakan kesihatan saya juga bagi saya tips untuk sembuh cepat..Terima kasih banyak-banyak ya.:)

Sunday, June 23, 2013

Mask Muka

Sebagai langkah menjaga kesihatan semasa jerebu ini saya beli mask muka di Farmasi tadi untuk anak-anak pakai ke sekolah nanti. RM40 sekotak..RM0.80 sehelai..

Mask muka..

Balik rumah..Nampak  mask muka ciptaan hero ke 4  saya. Di perbuat daripada tali rafia bekas pengikat kotak telur dan kertas dari buku terpakai. Siap lukis muka yang sedang senyum dengan gigi tajam-tajam dan mata bulat dimasknya..:)

Mask muka..RM0.00

Boleh pakai ka ni nak..hehe...

Friday, June 21, 2013

Petua Redakan Demam Panas



Beberapa hari ini asyik tidur berehat saja lepas uruskan anak. Buat kerja rumah pun sikit-sikit. Tidak larat siapkan semua.. Kepala rasa pening-pening dan badan rasa suam-suam kuku.Bila batuk rasa macam mahu pecah dada ni..Sakit..Bernafas pun sukar sebab hidung tersumbat..

Di sebabkan saya jenis yang tidak berapa suka menelan ubat, maka cara saya redakan rasa tidak selesa demam panas ini ialah minum sup ayam. Bubuh banyak-banyak halia, bawang putih dan lada hitam dalam sup. Bila minum badan berpeluh-peluh. Terasa sedikit lega dan badan rasa ringan lepas berpeluh.

Ada pula member bagi petua dengan saya kalau demam panas buat sambal pedas. Makan dengan nasi panas. Sama cerita dengan minum sup ayam tadi. Badan akan berpeluh dan kita akan rasa lega sikit. Member saya kata bukan saja akan berpeluh, rasa sambal pedas tu akan memaksa kita minum banyak air dan kurangkan suhu panas badan.

Ibu mertua saya pula bagi petua kalau demam panas minum air kembang semangkuk. Ini saya pernah cuba bagi dengan anak saya yang demam panas masa balik rumah ibu mertua dulu. Alhamdulillah demam panas anak saya turun setelah beberapa kali diberi minum..


p/s: Maaf kawan-kawan semua..Saya belum membalas jejak korang..Terima kasih korang semua selalu datang jenguk blog saya..Pounsikou Tambalut..:)

Saturday, June 15, 2013

Jeruk Tuhau

Kongsi dengan korang hari ini tentang satu lagi jeruk yang selalu ibu buat iaitu Jeruk Tuhau. Jeruk ini makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun dan memang pemes di Sabah. 

Baru hidu bau jeruk ni, air liur sudah kuar. Rasanya pedas masam. Bila makan Jeruk Tuhau ini boleh terkenyit mata dibuatnya kerana rasa masamnya itu..hehe... Sedap bila dimakan bersama nasi panas dengan ikan bakar..ikan goreng atau ikan masin..fuhh memang sedap. Kalau bubuh dalam sup ikan pun sedap juga. Bau hanyir ikan boleh hilang..

Ini cara ibu membuat Jeruk Tuhau. Caranya mudah sahaja.


Bahan-bahannya:
  1. Batang Tuhau
  2. Cili kering
  3. garam
  4. cuka
Cara membuatnya:
  1. Batang Tuhau potong kecil-kecil.
  2. Cili kering dibuang bijinya. 
  3. Blender batang tuhau dan cili kering hingga halus.
  4. Campurkan dengan cuka dan garam secukup rasa.
  5. Siap. Boleh hidangkan.
Jeruk Tuahu..merah menyelerakan..

Botol sebelah kanan kaler merah tu ialah Jeruk Tuhau.  Ibu masukkan dalam botol kedap udara selepas membuatnya. Abaikan si Jeruk Buah Bambangan kaler kuning di sebelahnya itu..

Batang Tuhau..
Sumber:Google

Ini rupa bentuk batang tuhau yang digunakan untuk membuat Jeruk Tuhau. Kamurang bule jumpa tumbuhan ini dijual mana-mana tamu di Sabah.

Saturday, June 1, 2013

Bersenam Keluarkan Peluh

Sedang mop-mop lantai awal pagi tadi, akak sebelah datang rumah..


"aikk..belum siap ka..mau p padang kan.."

Berhenti mop lantai..

"ayakk..jap kak"..

Cepat-cepat bersiap..Sudah berjanji hari itu pegi bersama untuk join bersenam keluarkan peluh di padang. Lupa janji pula saya ni huhu..Si akak di luar sabar duduk menunggu sambil menongkat dagu.."jan mare ya kak..hehe"..

Waktu kami sampai senam irama sudah bermula. Mak-mak..bapak-bapak..anak-anak nampak enjoy bersenam. Terus saja kami masuk ikut rentak senaman dorang..gerak-gerak..lompat-lompat..pusing-pusing..ke kiri..ke kanan..Ini boleh ikut..tapi yang time poco-poco tu tidak dapat mengikut gerak rentaknya..sebab first time buat. Ciannya MaMaRey..ketinggalan betul hehe..

Senaman pagi ini sebenarnya adalah antara aktiviti Hari keluarga dan Tadau Kaamatan anjuran Rukun Tetangga kawasan perumahan tempat saya tinggal..Setiap tahun dorang adakan program ini. Aktiviti berlangsung dari pagi sampai ke malam. Bersenam keluarkan peluh tadi, kira aktiviti awal pagi dorang.

Sekali sekala join aktiviti bersenam macam ini best juga. Seronok dapat menjoinkan diri bersama dorang bersenam. Dapat juga keluarkan peluh di awal pagi..keluar lah juga toksik yang duduk tersimpan dalam badan ini..:)

Wednesday, May 29, 2013

Bayi Baru Lahir Dalam Paip

Cedera: Seorang jururawat berkata anak lelaki - yang mempunyai berat £ 6,2 - mengalami keretakan pada tengkorak tetapi kini dalam keadaan stabil
Bayi lelaki seberat 2.8 kg 

Comelkan baby di atas ini..Baca di sini tadi..Bayi baru lahir yang terselamat selepas ditemui dalam paip kumbahan. Bayangkan bayi kecil tidak berdosa ini tersangkut di bahagian paip kumbahan dengan diameternya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Sedihh..

Saya pasti korang pun rasa sedih bila tengok video bayi baru lahir ini semasa diselamatkan oleh ahli bomba. Boleh tengok sini..

Saturday, May 25, 2013

Anak Autisme

Baru-baru ini saya pergi melawat jiran saya yang baru bersalin dan telah berkenalan dengan seorang ibu. Seorang yang peramah :)...Datang sama tujuan dengan saya..Melawat si ibu dan baby yang baru lahir...

Ibu yang baru saya kenali ini punya lima orang anak. Seorang daripada anaknya ialah anak Autisme. Anak lelaki berumur 11 tahun... Dia berkongsi cerita tentang pengalamnya bagaimana dia menjaga anak Autisme. Dari segi fizikal, anaknya kelihatan normal...tapi dalamannya tidak normal (fungsi otaknya). Itulah yang diceritakannya pada kami yang sedang duduk-duduk tengok si baby comel yang baru lahir. 

Dia mula perasan anaknya ialah anak Autisme semasa anaknya berumur 4 tahun. Anaknya tidak dapat berinteraksi/berkomunikasi dengan baik. Pertuturan juga tidak seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya. Anaknya juga selalu bermain sendirian. Seolah-olah berada di dunianya sendiri. 

Dia bercerita lagi, bukan mudah menjaga anak Autisme ini. Kesabaran perlu tinggi. Banyangkanlah sukarnya mahu memahami kerana si anak tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Bila buang air besar, merata-rata najisnya di sana sini..Belum termasuk lagi karenahnya yang lain..

Anaknya telah dihantar ke sekolah khas dan selepas mendapat pendidikan khas di sekolah tersebut, terdapat perubahan berlaku pada anaknya. Pertuturan anaknya juga makin bertambah baik dari sebelumnya.

Saya sangat kagum dan tabikk dengan si ibu ini kerana punya kesabaran tinggi menjaga anak Autisme. Sepanjang dia bercerita, saya pandang dan dengar ceritanya dengan kagumnya.

Sunday, May 19, 2013

Soal Siasat Antara BB Dan Kaka..


Tanya BB..

"Tadi Mummy tanya, Siapa conteng bilik Kaka..?..Bb nda jawab..?"

Diam..Buat muka kesian sebab takut kena marah..Cian pula tengok..

"Kenapa BB conteng bilik Kaka..?"

"Sebab Kaka marah saya bah masuk bilik dia.."

"Nda bole lah bah macam tu..marah terus mau conteng.."

Diam..

Tanya Kaka..

"Kaka..kenapa bah marah BB masuk bilik Kaka..?"

"Sebab dia nda pandai diam bah..kacau betul masuk bilik Kaka..kacau itulah..kacau inilah..lompat sanalah..lompat sinilah..tanya pun macam-macam..jerawat pun balik-balik dia tanya..tanya kenapa Kaka ada jerawat..hiisshh.."


Hasil lukisan BB..

Jerawat di muka Kaka..

Sampai sekarang hasil seni ini tidak diganggu..:D 

Thursday, May 16, 2013

Penyakit Lupa ..

Penyakit lupa telah melanda diri ini..

Kelmarin saya cuba masuk akaun online Banking saya. Kunun-kunun mencek baki untuk ditransfer. Tapi tidak berjaya sebab lupa password sendiri. Beberapa kali cuba tapi tidak berjaya. Call pusat perkhidmatan pelanggan dan saya telah disuruh ke bank berdekatan. 

Tadi, saya pergi ke bank selesaikan masalah saya ini. Sudah sampai ke destinasi..lupa pula bawa dompet. Kad ATM ada di dalam..Haiyaaa..Macam mana mahu berurusan..kad tiada bawa..Terpaksalah berpatah balik semula ke rumah untuk ambil kad ATM saya..

Bila cucuk kad ATM..tekan itu..tekan ini..okey..Tapi bila tekan dan mesin minta nombor telefon, lupa pula nombornya..Adehh..apa pasal lah pula penyakit lupa datang dari kelmarin dan menular hingga ke hari ini..Nasib baik di bank tadi orang kurang berurusan. Sekejap saja siap dengan bantuan staf-staf bank yang baik-baik dan ramah mesra..

Pulang rumah ada lagi penyakit lupa datang..Email sudah di send tapi lupa copy paste transaksi pembayaran..huwaaahhh..banyaknya lupa..

Gara-gara terpening tengok wajah baru G+ awal pagi tadi agaknya..hehehe..Salahkan G+ pula..Bukan salah G+ lah..Salah diri sendiri..asyik lupa saja..

Harap esok penyakit lupa ini tidak merebak esok hari..hehe


Tuesday, May 14, 2013

Kuih Lidah Dari Papar

Kuih Lidah dari Papar sudah maliii...

Kuih ini petang tadi sampai. Oder dengan bantuan akak jiran sebelah saya. Terima kasih akak yang baik hati..:)

Datang dari jauh..Dari Kg Berundong, Papar. Kuih tradisonal  masyarakat Melayu Brunei di Daerah Papar ini memang sedap..rangup buatannya. Saya selalu oder untuk dimakan bersama keluarga. Masa raya pun oder juga untuk dimakan tetamu yang datang.

Kuih Lidah dari Papar ini ada beberapa jenis perisa. Antaranya, perisa susu, perisa kacang hijau dan perisa coklat..Ketiga-tiga perisa ini saya sudah pernah rasa. Sedap..Tapi yang tersedap rasanya bagi saya ialah perisa susu.

kuih lidah
Kuih Lidah perisa susu..

Kuih Lidah atas ini perisa susu. Saya selalu oder yang ini. Anak-anak suka makan sebab kerangupannya dan rasa susunya yang sedap. Ada juga yang dibungkus dalam pek kecil. Tapi selalunya saya ambil pek yang besar. Anak-anak pun puas hati makan..:)

kuih lidah
Kuih Lidah

Tepung gandum, susu tepung, gula halus, mentega dan minyak masak adalah antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Kuih Lidah ini. 

Kuih Lidah dari Papar ini telah dikomersialkan oleh FAMA. Mahu tahu lebih lanjut boleh kilik sini. Satu rancangan Agrotek oleh RTM..

Monday, May 13, 2013

Minyak Kelapa

Terbaca di sini tentang minyak kelapa. Rupanya minyak kelapa ini baik untuk gigi kita.. Boleh membunuh bakteria di gigi dan secara tidak langsung mengurangkan kerosakkan gigi. Menarik..


sumber: sini

Kalau dulu masa kecil-kecil, guna minyak kelapa untuk di rambut..

Masih ingat lagi ibu selalu buat minyak dari kelapa tua. Kelapa tua diparut  lepas itu ambil perahan santannya. Santan yang diperah tadi dimasak dalam kuali besar dengan api yang kecil. Ibu gunakan kayu api memasaknya. Lupa berapa jam ia dimasak tapi seingat saya lama juga proses memasaknya. Dimasak sampailah santan tadi bertukar menjadi minyak. Warnanya jernih. 

Penuh santan satu kuali tapi hasil minyaknya cuma semangkuk sahaja. Kerak santan tepi-tepi kuali kami adik beradik suka sangat makan..sedaaapp..hehe..Ibu kata, "Itu Tahi minyak.."

Minyak kelapa tadi ibu akan masukkan dalam botol. Ditapis supaya tahi minyak tidak ikut serta masuk ke dalam botol. Ibu kata kalau zaman mereka muda-muda dulu, minyak kelapa inilah yang dorang gunakan sebagai minyak rambut. Rambut boleh jadi halus terurus kalau gunakannya. 

Tapi malangnya saya tidak berapa suka menggunakannya sebab bau minyak kelapa yang kuat melekat di rambut..Sekali sekala tu pakai lah juga..Bila pegi sekolah dari jauh boleh hidu bau minyak kelapa yang menyelerakan hehe..

Sunday, May 12, 2013

Coklat Cadbury Untuk Mummy

Pagi tadi kaka dan adik-adik ke kedai. Setengah jam kemudian..Pulang dengan membawa makanan yang di beli dari kedai. 

"Mummy..ada makanan untuk Mummy dalam peti sejuk.."

Buka peti sejuk dan nampak...


Wahh..Cekelaatt lah..kesukaan hati..hehe..

"Ini untuk Mummy ka.."

"Ya..Untuk Mummy..Kan Hari Ibu..Beli yang Mummy suka"


Tima kaci anak-anak..:)


Saturday, May 11, 2013

Siapa Conteng Bilik Kaka!!!


"Siapa conteng bilik kaka!!"

"Bukan saya conteng.."

"Saya tiada conteng.."

"Saya tiada masuk bilik kaka.."

"Jadi siapa conteng bilik kaka..??"


Diam Semua..Semua adik-adik tiada mengaku..


"Kaka tau tu siap yang conteng..BB yang conteng kan.." (penuh yakin)

"Macam mana kaka tau..??"

"Sebab hari tu BB tanya kenapa kaka ada jerawat...Tengok tu BB lukis muka kaka ada jerawat.." 


BB senyum-senyum...Kaka geram tengok...grrrrrr...



p/s: Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar ibu..

Friday, May 10, 2013

Hakim Yang Berhati Mulia

Rasa terharu terbaca cerita ini. Kisah mengenai seorang nenek misikin yang dituduh mencuri ubi kayu dan telah di bawa ke muka pengadilan..

Yang menariknya cara Hakim menjatuhkan hukuman terhadap nenek ini..

Sumber:Im a Muslim & Im Proud


Photo: Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.

Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.

Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh”

sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.

Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.

LIKE kalau terharu baca kisah ini.
SHARE ye sahabat2..

(✿◠‿◠) LIKE PAGE>> Im a Muslim & Im Proud <3

Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.
 

Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.

Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh”

sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.

Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.


Cerita Lalu:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...