YwkvRmuKGCTYn_F5guLVG8pAhRA

Wednesday, February 27, 2013

Tonsil Lagi

Hero bongsu saya,Yusuf, kena jangkitan tonsil lagi.  Ini kali kedua dia mengalami jangkitan tonsil selepas bulan lalu.  Kali ini bukan setakat kena jangkitan tonsil. Ruam merah turut muncul di badannya. Pagi tadi, saya bawa dia ke klinik berdekatan tempat abang bersunat dulu.  

Doktor kata kena chek darah untuk ketahui samada kena Chikungunya atau Demam Denggi. "tapi rasanya bukanlah" tambah doktor tu.  Walaupun cuma andaian saja, terkejut juga dengar kata-kata doktor itu..Hati mula risau. Dahi pun mula berkerut sampai kening hampir bertemu..huk..huk.. 

Doktor sarankan agar pergi ke Hospital wanita dan kanak-kanak (HWKK), Likas untuk chek darah.  Nasib baik ada jiran yang baik hati, tolong hantar saya ke HWKK.  Mr.Sawo nun berada di bawah kaki Gunung Kinabalu sedang berkursus. Nur Maryam pun terpaksa saya tinggalkan dengan seorang jiran untuk dijaga.  

ruam merah pada kaki Yusuf

Macam ini rupa bentuk ruam pada badan anak saya.  Tompok-tompok merah. Doktor di HWKK yang chek kata, bukan Chikungunya atau Denggi.  Lega rasa hati. Dahi dan kening bebas kerut semula..:)

Doktor chek mulut dan kata.."anak puan demam kuat sebab tonsilnya bengkak, bukan sebab ruam tu"... Suhu badan anak saya pada waktu itu ialah 38 darjah celcius.  Betullah kata doktor di klinik tadi.  Tapi apapun Kena buat pemeriksaan darah juga.."tunggu dalam 2 jam macam tu"..doktor tu kata.    

"cakitnya.uwaaa.."

Cucuk jarum tangan kanan untuk ambil darah.  Kesian Yusuf, menangis kesakitan. Keputusan darah okey..tiada apa-apa yang membimbangkan. Alhamdullilah...Mr.Sawo pun lega mendengarnya..Pulang rumah pun rasa senang hati walaupun penat lama mendukung Yusuf. 

Pada jiran-jiran saya yang baik hati, Kak Salma dan Coney, terima kasihlah banyak-banyak sebab membantu di waktu saya dalam kesusahan..

p/s; Maaf kawan-kawan belum berkesempatan membalas kunjungan korang semua..

Monday, February 25, 2013

Bergegar Lutut...

Baru saja pulang rumah setelah selesai beli barang bersama-sama dengan kawan baik saya.  Kongsi sikit pengalaman saya yang telah berlaku tadi..

Dipendekkan cerita, saya dan kawan baik saya telah singgah di satu kedai setelah selesai urusan tujuan asal kami.  Sebelum masuk kedai itu, saya singgah sebentar untuk membeli reload.  Setelah lama membelek-belek dan mencari kesukaan hati yang hendak dibeli, kami pun turun ke tingkat bawah untuk membuat pembayaran.

Sewaktu hendak membuat pembayaran, saya baru menyedari dompet buruk saya tiada dalam beg..Beg telah diselongkar beberapa kali tapi tidak juga menjumpainya.  Kami naik ketingkat atas semula, habis tempat kami selongkar..turun naik tangga tapi tiada juga.  Pekerja- pekerja dalam kedai itu juga turut serta bekerjasama membantu kami mencari.  Lama juga kami mencarinya.

Lutu mula bergegar..Apa tidaknya kad pengenalan saya..mykid anak-anak saya  wang dan beberapa kad lagi ada dalam dompet saya..Air mata mula mahu keluar..huwaaa..Risau Mr.Sawo akan bebel tahap gaban..huk..huk..Saya telefon dengan nada yang hampir mahu menangis.  

Mr.Sawo menyuruh agar mencari sekali lagi dengan mengulang semula perjalanan saya semasa masuk kedai itu.  Dengan bacaan bismillah, saya memulakan pencarian dari mula saya turun kereta..masuk kedai..cari di tingkat bawah..naik tangga..cari di tingkat atas..turun semula..cari di bawah tapi tidak jumpa..Saya kembali ke kereta dengan wajah yang putus asa dan dengan lutut yang masih bergegar-gegar..

Kawan baik saya rasa tidak puas hati..Dia menyuruh semula saya pergi mencari.  Tapi saya kata.."Nda apa lah tu"..dengan nada putus asa.. Kawan saya  memujuk  "cuba lagi cari"..Setelah beberapa kali berkata begitu saya pun turun semula dari kereta..Untuk kali terakhir mencarinya.. 

Semasa lalu tempat saya membeli reload telefon tadi, saya ternampak adik yang menjual realod tu..Saya bertanya dan dengan serta merta saya hampir melompat bila adik tu kata "ada"...Alhamdullilah jumpa semula..Di situ pula dompet buruk saya berehat sebentar..Lutut berhenti bergegar..hehe

Lega tidak terkata..air mata hampir keluar kerana gembira..Rupa-rupanya saya tertinggal dompet semasa singgah membeli reload tadi..Nasib baik lah adik tu jujur.  Tiada apa-apa yang hilang.  MaMaRey yang sangat cuai..huhu


Semua tempat saya jejaki apabila Mr.Sawo menyuruh mengulangi semula  perjalanan kami masuk ke kedai itu, kecuali kedai reload itu..
Inilah kecuaian saya pada hari ini yang telah menyebabkan lutut saya bergegar-gegar ..Perkara ini telah menjadi pengajaran bagi saya agar tidak cuai lagi..Korang jangan ikut macam  saya ya..
 

Friday, February 22, 2013

Waktu Minum Air Yang Betul

Photo: praktis dan sampaikan ...

sumber:fb

Minum air lapan gelas sehari adalah jumlah yang disarankan, tapi minum air pun rupanya perlu pada waktu yang betul. Minum air waktu yang betul rupanya boleh memberi kesan pada tubuh badan kita.  

Pertama tu, rajin saya lakukan..Minum 2 gelas air setiap kali bangun. Badan pun rasa segar bila awal pagi minum air.  Baru tahu pula minum air boleh menggiatkan organ dalaman.  Beruntung organ dalaman badan ini kerana selalu disirami air di awal pagi hehe..

Yang kedua jarang dilakukan.  Kalau perut sudah lapar mana lagi ingat mahu minum air. Tambah-tambah lagi kalau makanan depan mata tu ialah kesukaan hati.  Sudah tentu akan menggoda selera yang kuat makan ini, ngap terus..:D.. 

Ketiga..belum pernah lagi.  Sebabnya baru tahu..Kena diamalkan juga ni walaupun tekanan darah setakat ini menyenangkan hati.

Keempat pula, ada dilakukan.  Tapi kadang-kadang terlena terus masa susukan Nur Maryam. Bila terjaga, malas pula bangun mahu minum air..layan tidur..layan mimpi.  Yang ini pun baru tahu, minum air sebelum tidur boleh elak serangan angin ahmar dan serangan jantung.

Kalau betul-betul diamalkan waktu minum air yang betul macam diatas, kompem sihat sejahtera kan..:) Jom kita amalkan waktu minum air macam diatas...

Thursday, February 21, 2013

Award Persahabatan Dari Hermanbagus

Penghargaan dari sahabat  seberang..  


Saya telah menerima ini dari sahabat blogger Hermanbagus.  Terima kasih atas pemberian ini.  Terima kasih kerana sentiasa datang berkunjung ke blog saya yang tidak seberapa ini.  Setiap kunjungan dan komen dari Hermanbagus amat saya hargai..:)

Wednesday, February 20, 2013

Ultraman Bertukar Tangan

Ultraman yang telah dikerjakan oleh anak-anak..Telah ditukar ganti oleh hero-hero dalam rumah saya.

Jadi bahan ujikaji pula ultraman ni. Angkat tangan kiri kaler lain, angkat tangan kanan kaler lain.  Ini baru tangan yang ditukang oleh mereka, ada mainan tu badan lain, kepala lain, kaki lain.  Hasilnya pun jadi lain-lain..

Apa-apa saja lah wahai anak-anak..Janji anak-anak gembira..seronok..senang hati bermain..:) Senduk..sudip di dapur jangan pula ditukang ya anak-anak..hehe

Tuesday, February 19, 2013

Mencuri Tidak Kira Waktu

Pagi tadi selepas melawat beberap sahabat di alam maya, saya pergi melawat pula sahabat di alam nyata yang merupakan jiran sebelah rumah.  Jarang sebenarnya bertandang ke rumahnya kerana kesibukan yang sentiasa melanda diri ini.  Saya pergi dengan ditemani seorang sahabat, juga jiran sebelah rumah.

Pada mulanya kami berborak tentang kucing, bunga, pasu pecah, mesin basuh, air dan kemudian cerita mengenai pencuri. 

Sahabat 1 : Akak sedang stress bah ni sekarang.  
MaMaRey  : Kenapa kak?..
Sahabat 1Air tiada sebab kepala paip luar tu patah..Nda boleh putar.  Mungkin ada orang cuba tolong tutupkan sebab paip akak bocor.  Atau mungkin patah kena pijak sebab pencuri pernah panjat sana..
Sahabat 2 : ya ka..Mau hati-hati sekarang..Siang-siang pun ada pencuri tau..Baru minggu lepas rumah jiran kita kena masuk pencuri..
MaMaRey  : ya ka..nda tau pula saya..(<---- tidak prihatin langsung huhu..)
Sahabat 2  : eiyaa...Siang hari pencuri tu masuk....Habis kunci mangga pintu digunting, dikopek, dicungkil..

Menurut cerita akak itu lagi, pencuri pecah masuk rumah selepas si isteri keluar pergi bekerja.  Suami pula yang sedang tidur tidak menyedarinya dan menyangka jiran sebelah sedang bertukang.  Agaknya terlalu penat bekerja sampai tidak menyedari bahaya sedang berlaku.  Rasanya selepas berlakunya kejadian, tuan rumah itu mungkin menjadi lebih peka lagi terhadap bunyi-bunyi serupa bertukang.

Sebelum ini pun pernah dengar kes pecah rumah kawasan kejiranan saya.  Beberapa kes pecah rumah berlaku di siang hari ketika penghuni rumah tiada.  Bijak si pencuri mengatur strateginya.

Pernah juga ada kes, lori jiran saya telah dicuri.  Berlaku sekitar jam 5 pagi, beberapa minit sebelum waktu kebiasaannya turun kerja.  Sebelum ini tayar lorinya pernah dicuri tapi dia tidak menyangka pula lori sebuah, milik syarikatnya telah diangkat sekali.  

Pencuri sekarang tidak kira waktu bila mencurikan...  Agaknya Pencuri-pencuri ini memang sudah lama memerhatikan mangsanya.  Hanya tinggal menunggu masa sahaja untuk melaksanakan aktiviti jahat mereka itu.

Beberapa Tips Mengelak Kecurian dirumah:
  1. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur.  Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka.
  2. Sekiranya terdengar atau terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu di luar pintu rumah untuk masuk.
  3. Bawa kunci alarm kereta bersama semasa tidur, jika terjaga tengah malam kerana ada bunyi mencurigakan, cuba on and offkan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).
  4. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju.
  5. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.
Untuk lebih banyak tips lagi, boleh baca sini.

Harap-harap tiada lagi kejadian akan berlaku.  Risau juga sebab kes berlaku di kawasan tempat tinggal saya.  

Monday, February 18, 2013

The Walking Dead Season 3 Kembali

Semalam tengok Drama The Walking Dead season 3 yang terbaru di FOX Movies Premium (Astro Ch 413) jam 11 semalam.  Drama zombie yang lama ditunggu-tunggu. Mula mengikuti drama ini selepas tumpang sekaki dengan Mr.Sawo menonton beberapa episod season 1, tahun lalu.. 

The-Walking-Dead-Season-3.jpg

Drama ini diadaptasikan dari sebuah buku komik dengan tajuknya yang sama. Ceritannya memang menarik, sampai saya tidak berganjak depan tv kalau drama ini bermula.  Macam-macam konflik yang berlaku.  Watak-watak dalam cerita ini pun menarik hati.  

The Walking Dead season 3 sekarang sudah masuk bahagian yang kedua.  Ramai watak baru muncul dalam siri drama yang telah menjadi kesukaan hati ini..:) 

Merle dan Darly

Dua beradik, Merle dan Darly telah bertemu setelah lama terpisah tetapi terpaksa bertarung dengan disaksikan oleh para penduduk Kota Woodbury. Dahlah bertarung dengan mayat hidup terpaksa pula bertarung dengan saudara sedaging sendiri.  
antara watak disukai, Michonne 


Ada sanggup tinggal sekampung dengan Zombie ini??..

Tidak sabar menunggu ahad nanti.  Tidak sabar mahu melekatkan diri depan tv..hehe..Rugi  kalau tidak tengok cerita ini..Ada sesiapa ingin menjoinkan diri melekat sama-sama depan tv nanti..:D..Kalau teringin, anda dinasihatkan makan sebelum menonton..hehe 

sumber foto:sini

Sunday, February 17, 2013

Menangis Merajuk

Terkejut saya pagi tadi, semasa sedang syok mengacau bubur ubi manis.  Hero kecil saya menjerit macam jatuh kesakitan.  Dengan cepat saya meluru mendapatkan anak saya..Rupa-rupanya merajuk sebab abang dia tidak bagi adik jalan sendiri masa ke kedai tadi.  

Cerita si abang, Adik tidak mahu tangannya dipegang.  Dia mahu jalan sendiri. Jalan di tengah-tengah jalan.  Abang risau jadi bawa dia balik rumah.  Itu sebab merajuk sampai suara pun buat jiran terbangun dari tidur.  Asam jawa yang saya pesan pun belum dibeli.

Menangis tanpa henti, walaupun sudah didukung.  Sambil mengacau bubur, sambil pujuk dia.  Tapi semakin dipujuk dan mengacau bubur yang sedang dimasak, semakin kuatlah alunan suaranya.  Saya tinggalkan saja bubur tu bawa dia pegi mandi.  Masa mandi pun suaranya tidak berhenti.  

Apa yang buat saya tergelak, bila melihatnya sedang mandi sambil menangis.  Dia tidak mahu saya mandikan. Gosok badan sendiri, sambil menangis.  Cuci rambut sendiri, sambil menangis.  Berus gigi sendiri, berhenti sekejap.  Habis berus, sambung menangis.  Masa kumur mulut, berhenti sekejap kemudian sambung balik.  Saya tengok saja gelagat dia sambil gelak perlahan.  Tidak boleh gelak kuat nanti bertambah kuat dia menangis..hee

Habis mandi, masih menangis.  Saya bawa dia keluar dari bilik mandi, terus saja abang dia hulur makanan.  Adik terus diam.  Fuhhh..baru lega kepala saya hehehe...

Muhd.Yusuf dgn gajinya lepas menangis.  
Muka masam mencuka..kalah asam jawa yg dibeli oleh abangnya..haha

Barulah aman damai saya meneruskan kerja di dapur..hehe.  Nasib baik bubur tadi ada Mr. Sawo tengokkan..Kompem hangit kalau tiada yang tolong tengokkan hehe...


Friday, February 15, 2013

Kura-Kura Panjat Pokok Makan....


Jawapan untuk teka teki ini, ialah MASA..

Seorang telah berjaya menjawab dengan tepat teka-teki yang diberi oleh anak saya.  Ada beberapa orang hampir-hampir menjawabnya tapi pilihan hati anak saya ialah jawapan dari En Zuhdi Sanusi... 


aku nk jawab gak la., kura2 panjat pokok makan maser la., hmmm btul ker.


kura-kura panjat batu..

MaMaRey : Kenapa jawapannya MASA..?
Anak : Sebab kura-kura tidak pandai panjat pokok..kura-kura makan MASA  saja panjat...
MaMaRey : Tak paham..???
Anak : Maksudnya kura-kura tu Buang MASA saja panjat...


Budak seorang ini yang bagi korang teka-teki kura-kura tu..Hero kedua saya,BB.  Jangan marah kalau tidak berkenan dengan jawapannya ya..hehehe..

Terima kasih korang semua yang telah berhempas pulas  memerah otak untuk menjawab teka-teki anak saya ini..hehe..Macam-macam jawapan yang diberi.  Terhibur seketika bila membaca jawapan kalian semua.

Terima kasih banyak-banyak kerana sudi beri komen di blog MaMaRey, walaupun entri cuma satu teka-teki sahaja.  Kunjungan kalian semua amat saya hargai..:)

Sumber Foto: sini dan sini

Thursday, February 14, 2013

Teka Teki

monyet panjat pokok, makan pisang,
tupai panjat pokok, makan kacang,
kura-kura panjat pokok, makan apa?



kredit Mr.Google

Teka-teki dari anak saya..Anak saya kata, lepas ini ada lagi.  Dia mahu fikir dulu hehe..



Monday, February 11, 2013

Babysitters Nur Maryam

Ini Babysitter Nur Maryam kelmarin..
Tiga orang yang baik hati

Nasib baik Nur Maryam tidak meragam bila tiga orang baik hati ini tolong jaga Puteri Kecil ini.:)  Dorang pun suka melayan Nur Maryam yang tidak banyak karenah.  Dua orang gadis baik hati namanya Divina dan Suzy..Jejaka tu namanya Waled.

MaMaRey kemana pula..sampai tiga orang ini jadi Babysitter Nur Maryam..??

MaMaRey tidak kemana-mana..hehe..Saya sebenarnya tengah layan perut yang sedang lapar..Kelmarin pergi rumah terbuka Tahun Baru Cina di rumah kawan Mr. Sawo.  

Biskut, coklat, kacang, limau pun habis masuk perut..Macam tidak pernah makan pula huhu..Kenyang perut dibuatnya hehe..

Terima kasih kepada tiga orang yang baik hati, bantu jaga Nur Maryam sementara saya menikmati makanan enak yang dihidangkan oleh tuan rumah..:) Gong Xi Fa Chai Tuan Rumah dan juga kepada semua yang menyambutnya..

Bertuah tinggal di Malaysia, pelbagai perayaan disambut bersama..:)

Saturday, February 9, 2013

Kapurung

Pernah dengar Kapurung?..

Kapurung ialah sejenis makanan.  Saya mula mengenali makanan ini dari seorang sahabat berasal dari Indonesia.  Mula-mula dengar nama makanan ini rasa pelik sikit juga sebab belum pernah mendengarnnya sebelum ini.  Pertama kali mencubanya, boleh tahan juga rasa enaknya.

 Kapurung
Ini kapurung kawan beri.  Katanya, buat tak banyak..kacang pun tiada bubuh.

Sahabat saya menggunakan tepung kanji yang dituang dengan air panas mendidih kemudian dibentuk bulat kecil-kecil. Kapurung ini dicampurkan dengan isi ikan, sayur-sayuran, tempe dan ditabur dengan kacang tumbuk.  

Apa yang menarik tentang sajian ini ialah kesemua bahan-bahannya direbus.   Banyak sayur-sayuran rebus seperti kacang panjang, bayam dan kangkung digunakan dalam menu ini.  IKan juga direbus dan isinya diambil.   

Kapurung disajikan bersama dengan air kuah yang banyak.  Kuah yang digunakan ialah air rebusan ikan dan sayuaran tadi.  Boleh dikatakan makanan ini menu yang sihat.  Sangat sesuai juga bagi yang tidak mahu ternak lemak.

 Tepung yang telah dituang dengan air panas mendidih dan dibentuk bulat.

Lebih menarik lagi Kapurung tidak perlu dikunyah-kunyah.  Terus telan begitu sahaja.  Tapi isi ikan dan sayu-sayuaran kena kunyah lah..Tercekik lah pula..hehe

 sambal dan limau

Makan Kapurung ini tidak sedap jika sambal tiada.  Saya suka sambal ini sebab ada campuran tomato dan boleh bakar lemak hehe...  Sambal dan limau ini penyebab utama rasa enak makanan ini.. Bagi saya lagi kaw pedas dan masamnya, lagi kaw-kawlah menikmati Kapurung ini..:) 

Sekarang ini, saya sudah mula menyukai makanan ini..:)


# Maaf sahabat semua kerana lambat membalas kunjungan kalian.  Terima kasih tidak terhingga yang sudi datang singgah membaca bebelan MaMaRey..^______^

Friday, February 8, 2013

Bla..Bla..Bla.. "Adik Pun Penat Tau.."

Alkisah sebuah cerita...Seorang ibu yang mempunyai anak lelaki yang sangat aktif.  Si anak suka sangat melakukan sesuatu yang lasak-lasak.  

Si anak suka sangat berlari ke sana berlari ke sini,  mengalahkan pelari, Watson Nyambek.  Memanjat ke atas apa saja yang boleh dipanjat seperti spiderman dan terjun kebawah seperti superman.  Si anak juga sangat suka membuat lakaran-lakaran yang berwarna-warni di dinding.  Dinding rumah hampir penuh dengan lukisannya.

Satu hari si anak seperti biasa mengeluarkan keaktifannya.  Si ibu yang memang sudah penat dengan karenah periuk belanganya di dapur, hilang kesabarannya  lalu memarahi anaknya.  Panjang lebar tidak seperti yang sebelumnya.
"adik, kenapa adik ni tak pandai duduk diam..suka sangat buat ibu marah..adik jangan lari sana-sini..jangan panjat nanti jatuh..

adik jangan lompat..jangan terjun nanti cedera..

adik jangan conteng dinding nanti rumah kotor..

adik jangan bla..bla..adik jangan bla..bla..

dan bla..bla..

dan bla..bla..bla.".

"Ibu penat tau mau marah-marah"

Si anak berhenti bermain, mendengar dan memandang ibunya yang sedang berkata-kata.  Habis saja ibunya berkata si anak pun menjawab dengan perlahan;

" adik pun pun penat tau kena marah"

Si ibu terdiam.

p/s: Pesanan untuk diri sendiri agar menegur anak  bukan dengan cara bla..bla..bla.. walaupun penat dengan tugasan harian di rumah...Anak pun pandai penat mendengar kita membebel.  Menghadapi karenah anak yang aktif kenalah banyak bersabar.

Doa Seorang Muslim





sumber: Tilmiz.net

Thursday, February 7, 2013

Percintaan Shila Dan Sharnaaz

Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad

Semakin hangat kisah cinta dua artis ini.  Percintaan antara penyanyi lagu 'Patah Seribu', Shila Amazah,23, dan pelakon Ruby, Sharnaaz Ahmad,28 semakin menjadi topik hangat sekarang.  Kisah cinta mereka semakin hangat bila berlaku konflik antara Sharnaaz dan ND Lala, bapa Shila.

Baru-baru ini Sharnaaz merasa jauh hati dengan kekasihnya kerana surat yang dihantar oleh Shila kepada media.  Dalam suratnya, Shila tidak sanggup melukkan hati kedua ibu bapanya.

Surat Shila Amzah:
Tujuan Shila menulis surat ini, sebab Shila nak memperjelaskan semua perkara yang telah terjadi setelah sekian lama shila berdiam diri.
Pertama sekali, Shila memahami situasi ibu bapa Shila dan kenapa mereka begitu menjaga Shila dari pelbagai aspek sebab mereka menyayangi Shila dan takkan ada orang lain yang boleh menggantikan tempat mereka di dalam hati Shila.
Shila takkan sanggup melukakan hati mereka untuk berbuat sesuatu keputusan yang mereka tidak redhai.
Baca seterusnya di sini
Terbaru berita percintaan dua artis ini dalam Sinar harian,  Sharnaaz telah membatalkan hasratnya untuk merisik Shila.  

Semoga ada jalan penyelesian yang terbaik untuk mereka.  Bagi saya, apa yang penting ialah restu dari kedua ibu bapa.  

Tuesday, February 5, 2013

Remote Control Astro

Dari semalam lagi tv di rumah tidak dapat dibuka.  Gara-gara remote control astro punya pasal.  Tekan-tekan pun tiada no yang keluar.  Tukar channel lagi lah tidak boleh.  Bateri pun baru saja tukar.  Agakanya rosak remote control tu. Terpaksa hantar bagi orang chek.  Atau pun remote tu merajuk sebab asyik jatuh saja atas lantai.



Anak saya dari tadi lagi layan si Angry Birds ni.  Entah yang keberapa kali kartun tu diulang-ulang.  Nanti tidak lama lagi remote DVD tu pula yang merajuk hehe..

Monday, February 4, 2013

Ular Hitam Masuk Rumah Jiran

Terkejut tadi waktu sampai rumah.  Anak saya bagitau rumah kakak, jiran sebelah rumah kami dimasuki ular.  Saya yang dari kedai tidak sempat meletak barang terus saja pergi tempat kakak itu.  Kakak itu bagitau dia nampak seekor ular dekat rumahnya.  Dia kelihatan terkejut dan nampak pucat.  

Ceritanya kakak itu keluar mahu membuang sampah.  Oleh kerana terdengar azan, dia membatalkan niatnya untuk membuang sampahnya itu.  Sampah diletakkan dan mahu masuk kembali ke rumahnya untuk solat.  Sewaktu berpusing masuk ke rumah, dia terkejut bila melihat seekor ular hitam.  Hitam yang gelap sangat. 

Apa yang menghairankan kakak itu, waktu dia keluar ular itu tiada pula disitu.  Dia cuma meletakkan sampahnya dan pusing dan ternampak ular itu. Lagi dia rasa pelik ular yang dilihatnya tadi serupa benar dengar ular dalam mimpinya.  Ada beberapa kali dia termimpi ular itu. 

Naik juga bulu roma bila dia bercerita.  Sampai kakak itu takut mahu masuk dalam rumahnya sendiri.  Saya temankan kakak itu sampai suaminya pulang.  Rasa mahu tengok juga ular itu tapi takut la..

Harap-harap ular itu sudah melarikan diri.  Teringat pula masa mengandung, pernah mimpi ular kecil-kecil yang sangat banyak..Takut bercampur geli waktu dalam mimpi itu eeeeiii..hehehe...Suami pun sama, pernah termimpi ular tiga kali semasa saya mengandung.  Entahlah apa maksudnya...

Terima Kasih Sahabat

Kepada semua sahabat semua, terima kasih saya ucapkan kerana selalu datang ke Blog MaMaRey, yang tidak seberapa ini.  Setiap kunjungan sahabat semua amat saya hargai.  Setiap komen yang diberikan pemberi semangat untuk saya terus berkongsi sesuatu dalam blog yang tidak seberapa ini.  

Maaf jika saya tidak dapat berkunjung balas dengan segera ke blog sahabat semua.  Terpaksa utamakan tanggungjawab utama saya.  Tapi yang pasti, saya akan datang juga membalas semua kunjungan sahabat semua.

Mohon Maaf sepanjang saya berblog selama ini jika ada entri yang yang tidak disenangi.  Maaf juga jika saya ada meninggalkan komen di blog kalian yang telah menyinggung dan mengguris hati sahabat semua.

Pagi-pagi buat entri,
kata salam harus diucap,
Tiada apa dapat diberi,
Hanya Terima Kasih mampu diucap.

# Berpantun pula MaMaRey awal pagi..hehehe..


Sunday, February 3, 2013

Kek Coklat Kukus

 Resepi Kek Coklat Kukus ini saya belajar dari buku masakan Chef Hanieliza.  Kawan yang bagi tengok buku Chef ini mula-mula dulu.  Resepi kek Chef Hanieliza ini saya suka buat sebab ia sangat mudah dan ringaks untuk disediakan.  Kek ini sedap sebab ada rasa coklat yang memang kesukaan hati..:)

Ini buku Resepi kawan bagi pinjam dengan saya.  Fotocopy, itu sebab kaler hitam putih..hehe..
Jom tengok bahan-bahan dan cara-cara membuat Kek Coklat Kukus ini.  Saya tengok dari buku di atas itu.

Bahan A 

1 cawan susu cair
1 cawan air
1 cawan mentega cair
2 cawan gula perang

Bahan B
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan serbuk koko
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan C 
1 biji telur ayam
1 sudu teh esen vanilla

Cara Membuat Kek
1. Panaskan kukusan.
2  Kacau semua bahan A dalam mangkuk besar.
3. Ayak bahan B dan masukkan ke dalam bahan A.  kacau rata.
5. Bahan C dipukul dengan garpu dan masukkan dalam adunan tadi.  Kacau supaya tidak bergentel.
6. Lapikkan loyang dan masukkan adunan.
6. Kukuskan selama 1 jam dengan api sederhana.
7. Hiaskan dengan krim coklat.

Krim Coklat 
1 cawan susu pekat
2 sudu makan serbuk koko
2 sudu makan mantega

Cara Membuat Krim Coklat
1. Masukkan susu pekat dan serbuk koko dalam periuk.  Kacau rata.
2. Panaskan dengan api sederhana.  Kacau sebati.
3. Masukkan mentega dan kacau sampai pekat.lagi.
4. Sapu atas kek bila nampak coklat agak pekat.

 Boleh juga tengok resepi ini di sini.


Ini dia Kek Coklat Kukus hasil buatan MaMaRey dan bantuan dua orang hero di dapur semalam. Ini potong masa masih panas-panas lagi sebab anak-anak tidak sabar mahu mengunyahnya.  Potongan pun nampak tidak cun..huhu

Saturday, February 2, 2013

Sistem Bater

Nampak si abang sedang pegang bola tu...


Bola ini sebenarnya dibeli untuk si bongsu, Nur Maryam.  Dia sudah mula bergerak menggunakan empat kaki. Saya belikan bola bagi dia ransangan untuk lebih cepat lagi merangkak.  Tapi si abang atas ini telah ambil dan tukar dengan mainannya.


Abang ambil bola, motosikalnya bagi dengan adik.  Main sistem bater pula dia..hehe..
Nasib baik adik okey saja.  Tidak ada jeritan nyaring yang keluar.  

Friday, February 1, 2013

Timbang Berat

Semalam semasa BW terbaca mengenai timbang berat.  Bukan timbang berat badan orang tapi timbang berat blog.  Blog pun ada timbangan juga rupanya.  Saya terbaca di entry Ibu Berbicara di sini.  

Disebabkan si kecil jerit mahu nen semalam, maka saya tidak sempat untuk mencubanya.  Sebentar tadi barulah saya berkesempatan untuk menimbang berat blog ini.  Tengok gemuk atau kurus blog ini..hehe..   

Hasil timbanagn ialah : size : 106.17KB, load time : 0.47 seconds.  Kepada yang arif dalam soal ini minta pertolong beri komen.  Saya kurang arif dalam soal ini.

Kalau mahu tengok sejauh mana berat blog korang, boleh chek di sini.

Terima kasih kepada Ibu Berbicara kongsi info ini..:)

Cerita Lalu:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...