YwkvRmuKGCTYn_F5guLVG8pAhRA

Sunday, December 30, 2012

Selesai Sudah...

Selesai sudah semua urusan berkaitan dengan persekolahan anak-anak.. Jumaat lalu pendaftaran dan orentasi anak kedua saya masuk tingkatan satu.  Harap-harap anak saya dapat menyesuaikan diri di sekolah baru dan suasana yang baru.  Kelmarin pula urusan  pendaftaran sekolah untuk anak sulung saya.

Persiapan sekolah pun sudah selesai. Baju sekolah sudah gosok, lencana sudah lekat, buku teks pun sudah balut dengan plastik.  Semalam bantu anak balut buku teks pinjaman yang baru diberi semasa pendaftaran.  "Anak-anak jaga baik-baik buku teks tu tau" 

Tinggal beberapa hari lagi persekolahan akan dibuka.  Anak-anak pun tidak sabar lagi ke sekolah sebab mau rasmi kasut dan beg baru..:) Kalau persekolahan sudah bermula sayalah orang paling sibuk di rumah.  Urus itu ini.  Siapkan itu ini...Banyak yang perlu diuruskan.  Sudah namanya tugas seorang ibu memanglah sibuk..:) 

Mungkin ramai lagi ibu-ibu yang sama macam saya, sedang dilanda kesibukan menguruskan hal-hal berkaitan sekolah anak-anak terutama sekali yang punya anak ramai macam saya.

Apa-apapun selamat menjalankan tugas sebagi seorang ibu dan selamat tahun baru 2013.  Mudah-mudahan Tahun Baru 2013 selesai tanpa ada sebarang berita yang tidak anggun dilihat dan tidak indah didengar nanti.  

Selamat Menyambut Tahun Baru 2013 kepada semua...



1Malaysia Discount Card For All Soon

Friday, December 28, 2012

AwesomeThai Ads Red Bull : Mother (Eng Sub)

Tersentuh melihat filem ini.  Menitis air mata melihatnya.  Link perkongsian dari facebook Ustaz Zahazan Mohamed.  Terima kasih Ustaz.


Kadang-kadang kita terlupa banyak perkara termasuklah insan yang amat menyayangi kita.  Sayangilah selagi masih ada.  Masih belum terlambat lagi.

Thursday, December 27, 2012

Jadual Perincian Persekolahan 2013

Sekolah akan bermula pada 01 Januari 2013 bersamaan dengan hari Selasa bagi Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu (kumpulan A).                                                                                                                                                                                     
Bagi Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak,  Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (kumpulan B) sekolah akan bermula pada 02 Januari 2013 bersamman dengan hari Rabu.

Jadual Perincian Persekolahan mengikut penggal 2013 telah pun dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dikategorikan dalam dua kumpulan iaitu A dan B.  Jadual Perincian Persekolahan Mengikut Penggal boleh tengok sini dan boleh print terus.

Lepas ini bolehlah merancang cuti-cuti Malaysia tahun 2013 nanti.  Bagi saya yang sudah berkeluraga jadual ini penting untuk merancang aktiviti sekeluarga.    


Wednesday, December 26, 2012

Padang Golf Dalam Mangkuk

Mission Hills di China

Padang Golf dalam mangkuk mee seluas 80 meter dengan chopstik gergasi 50 meter.  Macam-macam betul idea orang china ini.

Sumber:CNN

Entry cepat.  Sibuk urus persiapan sekolah anak-anak.  Ada masa nanti BW.  Sorry kawan-kawan.

Monday, December 24, 2012

Pentingnya Imunisasi Bayi

Hari ini 24hb genap umur anak bongsu saya 5 bulan dan hari ini merupakan suntikan kali kelima untuk si comel saya.  Ambil suntikan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) berdekatan tempat tinggal saya.  Dari umur satu bulan memang ambil suntikan di sini.  Walaupun kadang-kadang kena tunggu lama sikit tapi masih ambil suntikan disini sebabnya dekat dengan tempat tinggal, layanan yang baik dari nurse-nurse dan free..:)

Imunisasi kali ini ialah DTaP/DT, Hib dan IPV dos yang ketiga.  Nama penuhnya tidak tahu jadi tulis singkatan saja.  Dos pertama dan kedua sudah diberi waktu umur dua dan tiga bulan.  Sekali cucuk saja dapat semua imunisasi ini.  Kalau dulu ada suntikan yang kena cucuk dua kali.  Sekali cucuk, anak jerit dua kali cucuk, anak terjerit-jerit.. Cian baby kecil...Tapi ini bukanlah alasan untuk tidak mendapatkan suntikan imunisasi untuk anak.  Sakit kena cucuk sekejap saja.  Demam selepas disuntik pun tidaklah berterusan.  Alhamdulillah setakat ini anak saya tidak demam selepas disuntik.  Ruam pun tidak ada.  

Ambil suntikan ini harus diambil berat.  Tidak boleh dipandang remeh dengan menangguh-nanguhkan pengambilan suntikan atau langsung tidak ambil.  Lagi lah kesian anak kalau kena jangkitan penyakit berbahaya contohnya seperti radang paru-paru dan penyakit hati.  Cian anak yang masih sangat kecil  tidak mampu melawan penyakit.  Kita yang dewasa pun rasa takut mendengar nama penyakitnya inikan pula anak kecil.  Jangan dinafikan hak anak untuk membesar dengan sihat.

Suntikan yang diberi untuk anak saya kali ini salah satunya adalah mencegah jangkitan selaput otak atau radang selaput otak.  Anak jerit sekejap, jerit pun ayu-ayu saja..:) 
Lepas itu senyum-senyum tengok saya berbual dengannya hehe..Anak baik..:)  

Nurse pesan jangan tuam dengan air suam bekas suntikan itu. ye ke..baru pula tahu.  Kalau dulu suruh tuam air suam supaya tidak bengkak tapi kali ini dilarang pula.  Tanya dengan Nurse "kenapa?"  Sebabnya nanti vaksin akan mati akibat kena air suam.  "Sudah ada kajian yang dibuat.  Bagi makan ubat demam saja untuk tahan sakit"sambungnya lagi.  Info baru saya dapat tadi.

Temujanji akan datang bulan depan untuk Hepatitis B(dos 3) dan Measles.


Sunday, December 23, 2012

Hujan Lagi

Selamat berhujung minggu semua...

Nampaknya hujan lagi...Cuaca sejuk-sejuk...Rancangan mahu berjalan-jalan dengan family terpaksa ditunda.  Anak-anak pun tanya 'bila mau cari pensel, pembaris"...risau dengan alat tulis yang belum ready lagi hehe...Apa tidaknya cuti sekolah tidak lama lagi berakhir.   Semalam anak ketiga saya kata "esok kita jalan cari alat tulis, cuti tinggal 11 hari lagi"..siap kira hari lagi..:) 


Apa boleh buat cuaca tidak mengizinkan.  Jangan risau ya anak-anak nanti minggu depan kita beli...  Hari biasa susah sikit mahu berjalan, suami kerja.  Kena tunggu hujung minggu baru suami free.  Harap-harap hujung minggu depan tidak hujan dan harap-harap juga tiada anak-anak yang sakit dengan cuaca sekarang ini.


Apa-apapun hujan adalah rahmat Allah.  Syukur keatas pemberianNYA.


Saturday, December 22, 2012

Pisang Sabah

Pisang ini jiran sebelah yang beri.  Alhamdulillah rezeki dariNYA.  Orang biasa panggil pisang ini Pisang Sabah, Pisang Nepah dan ada lagi yang saya tidak ingat namanya.  Orang kata nama Negeri Sabah ini berasal dari perkataan "saba" iaitu Pisang Sabah yang gambarnya dibawah.  


Pisang ini sedap kalau dimasak jadi pisang goreng.  Biasanya pengusaha-pengusaha gerai-gerai makanan yang menjual pisang goreng disini menggunakan pisang ini.  Tapi oleh kerana pisang ini masih mentah maka saya masak jadi kerepek pisang.  

Mudah saja buat.  Kupas kulitnya kemudian isi pisang dihiris nipis-nipis memanjang samada menggunakan pisau atau alat penghiris.  Saya tidak ada alatnya jadi hiris gunakan piasu saja.  Lepas pisang dihiris celup dengan air gula kalau mahu manis.  Kalau mahu masin celup dengan air garam.  Lepas itu goreng sampai kekuningan, angkat dan sejukkan.      

Sedap dimakan bersama keluarga sambil tengok tv atau makan semasa minum petang.

Friday, December 21, 2012

21 Disember 2012 Tarikh Kiamat

Ramalan yang kononya hari ini Jumaat, 21 Disember 2012 adalah Tarikh Kiamat ternyata tidak tepat.  Sebelum ini orang sibuk bertanya tentang ramalan ini samada benar atau tidak.  Kelmarin dulu pun saya ditanya "betul ke 21hb hari kiamat"

Tidak perlulah kita percaya sangat dengan ramalan-ramalan yang diramalkan. Dalam Berita Harian pun ada mengingatkan supaya umat Islam tidak perlu percaya dan terpengaruh.  Pagi tadi di MHI TV3 pun membincangkan perkara ini.  Ustaz Zahazan Mohamed jemputan MHI tv3 kata haram dan syirik percayakannya. 


Seperti yang kita sedia tahu tidak ada tarikh kiamat yang ditetapkan.  
Kiamat pasti datang tapi tidak dapat diramal bila harinya, bila masanya.  Hanya Allah yang tahu dan ia merupakan urusan Allah.  

Thursday, December 20, 2012

Video Paling Popular Di Malaysia

Siapa suka tengok video di Youtube... Ini adalah Video paling popular di Malaysia tahun 2012
  1. PSY-Gangnam Style
  2. Sleeq & Najwa Latif-Untuk Dia
  3. Bigbang-Fantastic Baby
  4. PSY(ft. Hyuna) 오빤 딱 내 스타일
  5. Orang Sabah Style (Oppa Gangnam Style Parody)
  6. Maher Zain-Number One For Me
  7. Bigbang-Blue
  8. Gangnam Style Parody-KL Style
  9. Hafiz & Dato' Siti Nurhaliza-Muara Hati
  10. Upin & Ipin 2012-Tangkap Dia!

Video Trending Teratas (Malaysia)

Di tempat pertama  tidak perlu cakap pun semua orang tahu, mestilah PSY–Gangnam Style, Raja You Tube yang mengalahkan lagu Baby nanyian Justin Bieber, bintang remaja Kanada.  Kuat betul aura si PSY ini.

Upin & Ipin pun tersenarai antara yang paling popular.  Anak-anak suka tengok upin & Ipin termasuklah saya juga...:)

Wednesday, December 19, 2012

Abang Bersunat

Hari ini temujanji bersunat untuk anak lelaki saya yang sulung berumur 12 tahun.  Suami buat temujanji sedia di klinik berdekatan dari kelmarin supaya tidaklah terlalu lama menunggu nanti.  

Ini merupakan pengalaman pertama bagi saya dan suami menemani anak bersunat.  Anak bersunat Saya pula yang berdebar-debar hehe..

Jumpa doktor untuk ukur dan spray 

Saya temankan anak dari mula hinggalah selesai bersunat.  Abang relax saja masa kena sunat.  Sebelum bersunat doktor bacakan doa agar semuanya berjalan lancar.  

Saya berdiri tengok sebelah Abang.  Bila tanya  Abang "sakit ke"...Abang kata "tak sakit"..sambil senyum.  Masa bersunat pun tidaklah lama sangat.

Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar. Doktor cuma pesan jangan makan makanan yang gatal.  Harga bersunat Rm180 ikut saiz.

Tuesday, December 18, 2012

Ujian Pap Smear

Pagi tadi saya pergi ke klinik ditemani suami buat Ujian Pap Smear.  Kalau dulu tidak berapa kisah dengan ujian ini sebab tidak suka dengan prosesnya yang kena korek bawah.  Tapi selepas tahu betapa pentingnya ujian ini barulah mahu buat. Cek macam cek bukaan masa bersalin. Kali pertama dulu memang ada rasa takut-takut tapi kali ini tidak.  Sebab tidak rasa sakit pun...cek bukaan bersalin lagi sakit.  Cuma perlu tarik nafas panjang-panjang dan relax.  

Nurse tadi pun ramah-mesra.  Pandai dia bawa berbual-bual bagi alih perhatian saya.  Cek sekejap saja.  Beberapa minit saja sudah siap. Ambil sampel gunakan kayu kecil di bahagian serviks.  Keputusan ujian tidak dapat terus.  Tunggu bulan depan baru dapat.  Harap-harap tiada apa-apa.

Disini saya kongsi dengan anda maklumat tentang Ujian Pap Smear.  Ambil dari Alamhamil.com Protal Kehamilan Malaysia

Apa itu ujian Pap Smear?
Ujian Pap Smear adalah ujian saringan bagi mengesan kanser serviks peringkat awal. Ianya diantara ujian saringan yang terbukti boleh menyelamatkan nyawa.

Siapakah yang perlukan ujian Pap?
Setiap wanita yang pernah mangadakan hubungan seks perlu menjalani ujian Pap terutamanya:
  1. Mereka memulakan hubungan seks pada usia < 18 tahun
  2. Mereka yang mempunyai pasangan seks berbilang.
  3. Pasangan seks wanita tersebut atau suami yang mempunyai ramai pasangan seks.
  4. Mereka yang mempunyai Jangkitan kuman HPV (agen penyebab kanser)
  5. Perokok
  6. Tidak pernah/lebih 3 tahun tidak melakukan ujian Pap Smear.
Bagaimanakah ujian Pap Smear dilakukan?
Pemeriksaan faraj akan dilakukan dengan mengunakan speculum. Kawasan dalaman faraj dan serviks akan dilihat dengan mata kasar. Setiap ketidaknormalan akan diperiksa dengan teliti.

Dengan mengunakan kayu kayu kecil (spatula) sel-sel pada bahagian serviks akan diambil dan akan dismear pada permukaan slaid. Slaid ini kemudiannya dihantar ke makmal untuk diproses sebelum dibuat pemeriksaan mikroskopik.

Bilakah waktu yang sesuai untuk ujian Pap Smear dilakukan?
Ujian mudah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa anda tidak didatangi haid kerana sel darah merah boleh mengganggu pemeriksaan mikroskopik. Sebolehnya elakkan hubungan seks pada malam sebelumnya.

Monday, December 17, 2012

Panduan Mandikan Bayi

Kongsi sedikit panduan mandikan bayi untuk ibu-ibu baru.    Semoga menjadi panduan.

1. Sediakan terlebih dahulu keperluan bayi selepas mandi seperti pakaian, lampin, minyak angin, bedak dan losyen.  

2. Siapkan air suam untuk mandian bayi termasuk sabun dan shampo.  Masukkan air sejuk terlebih dahulu.  Jika air panas dimasukkan terlebih dahulu tab mandian bayi jadi panas dan ia boleh melecurkan kulit si kecil.

3. Gunakan siku untuk menguji suhu air yang sesuai untuk si kecil mandi. Tangan kita sudah terbiasa dengan suhu panas. 

4. Lapis tempat mandi dengan kain atau lapis getah khas untuk mandikan bayi.  Cara ini mengelakkan bayi dari tergelincir dalam tab mandiannya.

5. Sentiasa bercakap dengan bayi atau nyanyikan dia lagu.  Ada bayi yang menangis ketika dimandikan.  Cara ini boleh menenangkan si kecil.

6. Semasa memandikan bayi harus berhati-hati kerana badan bayi licin dan sukar dipegang.   Gunakan tuala tebal yang menyerap air untuk membalut badan bayi agar cepat kering.  

7. Bagi ibu yang baru melahirkan anak, adalah lebih baik jika ada orang yang membantu memandikan bayi kerana selepas bersalin badan kita masih terlalu lemah. Suami mungkin boleh membantu dalam hal ini.

8. Mandikanlah bayi dengan penuh rasa kasih sayang kerana masa mandi adalah masa yang menyeronokkan, meriangkan dan menyegarkan bagi si kecil.


Saturday, December 15, 2012

Persiapan Persekolahan 2013

Sedar tidak sedar cuti sekolah tinggal dua minggu lagi.  Tidak terasa persekolahan akan bermula tidak lama lagi.  Cepatnya 2013 muncul.  

Hari ini bawa anak-anak shopping untuk persiapan persekolahan tahun hadapan.  Awal pagi lagi anak-anak dibangunkan untuk bersiap awal supaya awal berangkat.

Sebab awal berangkat:
  1. Awal jalan, awal siap, awal pulang
  2. Senang dapat parking
  3. Tidak bersesak-sesak
  4. Risau keselamatan anak kalau ramai orang


Mula-mula cadang mahu pergi shopping di 1 Borneo.  Tapi suami bawa shopping sini.  Jam 9:15 sampai.  Awal betul sampai mengalahkan pekerja-pekerja sini.


"sambil tunggu Tongs buka, tengok-tengok kalau ada berkenan"


 Buka saja terus serbu...serbu cepat nanti sekejap lagi ramai orang datang shopping.  Susah mahu shopping kalau sesak.  Sepanjang bershopping-shopping sentiasa tengok anak-anak. Tidak boleh jauh dari saya dan suami.  Mata-mata kena sentiasa peka.  


Adik ini pandai layan pelanggan.  Tolong pilih saiz baju, kasut dan juga stoking.  Terima kasih cik adik yang baik hati.  Terima kasih kerana ramah-mesra.


Sampai rumah terus cek resit.  Manatau ada yang tertinggal atau terlebih harga ke..tapi alhamdulillah semuanya ok..


 Baju sekolah, seluar sekolah, kasut, beg, stoking...Semua sudah ada..Tinggal peralatan tulis lagi belum beli.  Tunggu bonus masuk baru shopping balik. 

Friday, December 14, 2012

Upin Ipin-Lagu Pengembara dan Biri-Biri

sumber: youtube

Tengok sekejap dengan anak-anak sebelum tidur.  Anak-anak saya suka sangat tengok kartun Upin Ipin ini.  Lagu Pengembara dan Biri-Biri ini best.  Saya pun suka tengok. Seronok tengok dorang buat persembahan.  Comel betul suara bila nyanyi.  Satu nasihat yang baik untuk anak-anak.

"Jangan biasa memperdaya..nanti orang dah tak percaya..bila terkena padan muka.."

Anak-anak jangan suka bohong tau..Jangan sesekali ya..Nanti tiada orang yang percaya. 

Tamat Sudah Perjuangan

Semalam tengok perlawanan antara Malaysia dan Thailand dengan anak-anak. Malaysia gagal untuk ke final Piala Suzuki AFF 2012.  Tamat sudah perjuangan Malaysia untuk ke final apabila tewas 2-0 kepada Thailand.  

Menjadi kontroversi perlawanan semalam bila Lee Minhu pengadil dari Korea Selatan  melayangkan kad merah kepada Fadhli Shas iaitu pemain pertahanan Malaysia.  Baik betul hati pengadil itu.  Agaknya keputusan semalam mungkin berbeza kalau Fadhli Shas tidak dibuang padang.

Apapun tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana berusaha sedaya upaya bermain semalam.  Pujian untuk Farizal Maralias penjaga gol kita kerana ketangkasannya menepis serangan-serangan pemain Thailand.

Jangan putus asa Malaysia, tahun ini mungkin perjuangan sudah tamat tapi akan datang masih ada lagi.    

Tahniah juga kepada Pasukan Thailand kerana berjaya mara ke final.

Thursday, December 13, 2012

Tips Banyakkan Air Susu

Kongsi sedikit tips banyakkan air susu yang selalu saya amalkan:

1. Susukan bayi sekerap mungkin.  Sebabnya ialah, lebih kerap bayi menyusus akan lebih banyak air susu terhasil.  Jarak penyusuan tidak melebihi dua jam.

2. Saya mengamalakan minum banyak cecair. Selain minum banyak air kosong saya juga banyak minum susu seperti susu Enfamama, susu kacang dan juga minum sup ayam dicampur halia.  

3. Minum teh dan minuman yang mengandungi kafien kalau boleh saya ellakkan. 

4. Makan banyak sayur-sayuran seperti kacang panjang, taugeh, jagung muda atau apa-apa saja jenis sayur.  Samada digoreng atau direbus campur dalam sup.  

Banyak lagi sebenarnya tips-tips yang boleh diamalkan tapi tips-tips diatas saya amalkan selalu agar air susu sentiasa banyak.  

Saya menysusukan anak dengan susu badan penuh tanpa memberi susu formula kerana khasiat susu ibu tersangatlah ajaib.  

Tuesday, December 11, 2012

Google Plus (g+)

Saya baru saja mahu mengaktifkan diri mengunakan Google Plus.  Seronok menggunakannya dan banyak kelebihan.  Google Plus ini sama macam jaringan sosial yang lain seperti facebook dan twitter.  Boleh share apa-apa saja seperti gambar, video termasuklah blog kita.

Mula-mula guna memang tidak pandai tapi rupanya memang sangat mudah dan user friendly. Proses uploading juga cepat dan mudah. Bila log in Google Plus , secara automatik  boleh masuk blog kita, akaun picasa album, youtube dan email.

Kalau ada notifications senang mahu balas walaupun bukan dalam page Google Plus.  Cuma klik button sebelah kanan atas semua mesej boleh dibaca dan boleh balas terus.  Kalau button warna merah maknanya ada mesej.

Status chat juga boleh diubah mengikut kehendak sendiri.  Contohnya tukar ada, sibuk atau halimunan. Ini kira serupa dengan yahoo messenger.

Banyak lagi sebenarnya yang menarik menggunakan google plus ini. Saya sendiri pun sedang belajar menggunakannya. Kalau mahu tahu aktifkanlah diri menggunanya.  Add kawan ramai-ramai. Jangan lupa add saya...:)

Monday, December 10, 2012

Giant Crocodile


Besarnya buaya ini, macam dinosaur.  Reptilia ini di tangkap hidup-hidup di Philippines yang disyaki telah menyerang dan membunuh orang.  Panjangnya 20,24 kaki atau 6.17 meter dan masuk Rekod Dunia.

Tengok gambar saja pun nampak besar, kalau tengok depan mata lagi besar. 

sumber: National Geographic

Friday, December 7, 2012

Bulimia

Kongsi sedikit info tentang Bulimia atau yang terlalu obses terhadap bentuk badan.

Bulimia adalah gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan yang baru dimakan. Berasal daripada perkataan Latin (Bous Limos Nervosa) iaitu lapar dan juga gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan.

Ciri-ciri penghidap bulimia:


  • Bermula dengan berdiet dan bersenam secara berlebihan.
  • Makan banyak tetapi memuntahkan semula semua makanan.
  • Mudah rasa bersalah selepas makan.
  • Mengambil ubat laksatif atau diuretic serta pil lain.
  • Pipi kembung akibat pembesaran kelenjar liur kerana selalu muntah dan kerosakan enamel gigi sebelah dalam.


  • Kesan buruk bulimia:

    • Berat badan sentiasa turun naik atau lebih sedikit daripada berat normal.
    • Boleh menyebabkan kematian akibat penghasilan asid gastrik berlebihan.
    • Muntah berulang kali.
    • Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.
    • Kerosakan lapisan perut.
    • Degupan jantung tidak seragam.
    • Kerosakan buah pinggang.
    • Enamel gigi rosak kerana selalu muntah.
    • Kerongkong berdarah.
    • Kerap terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.
    • Gangguan fikiran, resah dan murung.
    Sumber: mymetro

    Thursday, December 6, 2012

    The Walking Dead (TV Series)

    sumber:google

    Mula-mula dulu tidak berapa tengok Siri Drama The Walking Dead ini.  Tapi melihat suami suka sangat tengok sampai tidak  berganjak depan tv saya pun tumpang sekaki tengok.  Selepas tengok  dua tiga siri rasa minta pula mahu mengikutinya. 

    Drama ini memang mengerikan dengan zombie yang bermuka buruk sentiasa menunggu mangsa untuk dimakan.  Budak-budak 18 tahun ke bawah memang tidak berapa sesuai tengok dan juga yang penakut hehehe...


    Tengok cara membunuh zombie pun mengerikan.  Kena tepat pada kepala baru zombie itu mati. Kalau kena gigitan zombie comfirm bertukar jadi mayat hidup.

    Siri drama thriller The Walking Dead ini sebenarnya diadaptasi dari buku komik Robert Kirkman yang sama tajuknya dan diarahkan oleh pengarah terkenal Frank Darabont


    Apa yang menarik ialah semangat berkumpulan mereka dan pelbagai konflik di antara mangsa-mangsa yang terselamat dari serangan zombie.  Apa yang teruk sekali ialah ketakutan mereka terhadap orang-orang hidup yang lebih berbahaya dari zombie tersebut. 



       sumber: youtube

    The Walking Dead season 3 episode 4.  Bahagian yang menyentuh hati bagaimana pengorbanan seorang ibu melahirkan anaknya iaitu Lori.  Lori meminta Meggie membelah perutnya bagi menyelamatkan bayi dalam kandungannya.  Rasa tidak sabar menunggu kemunculan episod baru febuari 2013.

    Wednesday, December 5, 2012

    Layan Sekejap


    Layan sekejap lagu Teman Pengganti ini sebelum memulakan tugas masak-memasak. Suka lirik, suka rentak iramanya dan suka video klip ini. View telah pun mencapai 3 juta lebih di youtube.  Tahniah..

    Antara lagu yang berjaya masuk ke Anugerah Juara Lagu ke-27 2012.  Semoga berjaya..Semoga Menang...

    Kate Middleton Hamil

    Kate Middleton
    sumber: nydailynews

    Kate Middleton atau nama sebenar Catherine Middleton disahkan hamil.  Kandungan Kate dijangka kembar.  Tentu seluruh rakyat Britain gembira mendengar khabar berita yang telah diumumkan semalam.

    Prince William yang merupakan pewaris takhta, membawa Kate ke Hospital King Edward VII setelah Kate mengalami morning sickness.  Kesian Kate..

    Kate Middleton berkahwin dengan Prince William pada 29 April 2011.  Lahir pada 9 Januari 1982 di Reading, Berkshire, England.Pernah belajar di University of St Andrews.  Kate mempunyai adik perempuan, Pippa Middleton dan seorang adik lelaki James William Middelton.

    Spiritual Productivity in One Minute


    Klik pada imej untuk besarkannya.


    Monday, December 3, 2012

    Kenapa Bayi suka Menghisap Jari

    Kenapa bayi suka menghisap jari?
     "Tindakan bayi menghisap jari tangan bukanlah disebabkan oleh lambat memberikan susu kepadanya. Menurut kajian, ia adalah tindakan refleks bagi bayi yang normal. Banyak lagi tindakan refleks yang lain selain menghisap jari tangan seperti jari kaki, mengerutkan jari-jari kaki apabila ditekan tapak kakinya atau menggenggam jari jemari kita apabila kita merasa tapak tangannya dengan jari-jari kita. Itu adalah permulaan kepada pergerakan-pergerakan yang lain seperti meniarap, merangkak, memasukkan benda yang dicapainya ke dalam mulut dan banyak lagi pergerakan apabila mereka semakin membesar nanti. Jangan terkejut pula apabila puan akan merasai sendiri dan melihat bagaimana seorang bayi membesar menjadi dewasa. Ia adalah suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan dan amat menakjubkan."   Pa&Ma
    Bayi saya yang kecil berumur 4 bulan hobinya sekarang suka  menghisap jari.  Ibu jari jadi sasaran utamanya.  Kalau dialihkan pun dia tetap memasukkan jarinya ke mulut. Agaknya sedap rasanya jari tu macam gula-gula hehehe...

    Tidak puas ibu jari dia akan memasukkan satu penumbuk ke dalam mulut.  Kalau dialihkan dia akan jerit marah tunjuk tidak puas hati.  

    Kalau mau tidur itulah masanya dia suka sangat menghisap jari. Adakalanya apa saja yang dicapai akan dihisap.  Baju pun habis basah dihisap.  Tidak puas bajunya kakinya juga  ditarik masuk ke dalam mulut.  Macam-macam eksperimen yang dibuatnya.


    Tapi sebenarnya tak perlu risau dengan bayi yang suka menghisap jari sebab dia akan berhenti dengan sendiri.  Kalau tanya dengan doktor pun ianya memang normal.

    Hadiah Doodle dari Sukartun



    Cantik tak..hehehe. Doodle ini hadiah dari sukakartun. Cik adik yang baik hati ini bagi kepada 8 orang yang comment di blog dia.  Boleh tengok hadiah doodle yang lain di blog dia.  Comel-comel dan cantik-cantik.  Baik betul sampai 2.30 pagi baru tidur sebab buat doodle ini. Terima kasih sukakartun.

    Saturday, December 1, 2012

    Memang Gila dan Ganas

    Memang gila dan ganas.  Gara-gara pinangan ditolak seorang lelaki memenggal kepala seorang gadis ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.  Ini berlaku di Utara Afgahnistan.

    Bapa si  gadis menolak pinangan sebab anaknya baru beusia 15 tahun.  Masih terlalu muda untuk berkahwin.  Lelaki tersebut adalah saudara terdekat dan tinggal sekampung.


    Ngeri pula bila membayangkannya.  Sampai ke tahap membunuh kerana pinangan ditolak.


    Sumber:Mynewshub

    Cerita Lalu:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...