Nasi Linopot... Pernah dengar?..
Ini merupakan salah satu resepi tradisional kegemaran saya.
'Linopot' dalam sebutan bahasa Dusun yang bermaksud dibungkus. Nasi ditanak bersama dengan ubi keladI/keledek/kayu/manis. Selepas dimasak ia akan digaul hingga nasi dan ubi menjadi sebati. Satu alat khas berbentuk leper panjang yang dipanggil
'Gigiyu' digunakan untuk menggaul. Selepas itu ia akan dibungkus (Linopot) menggunakan daun.
Sewaktu di kampung minggu lalu, Ibu tunjukkan cara-cara bagaimana hendak membuat Nasi Linopot ini. Ini sebenarnya atas permintaan anak-anaknya yang teringin sangat mahu makan Nasi Linipot. Ibu dengan gembira tunjukkan cara-caranya. Siap suruh saya rakamkan lagi hehe..
|
Ubi keladi..
potong tangkai..kupas dan hiris |
Ibu gunakan ubi keladi untuk dicampurkan dalam Nasi Linopot ini. Ubi ini ibu tanam sendiri di kebun kecilnya. Ubi keladi sudah sedia dibersihkan. Tinggal dipotong dari tangkainya. Tangkainya pula ibu simpan untuk ditanam balik. Lepas itu kulit ubi keladi dikupas kemudian dihiris tebal. Kalau ikut cara ibu menghiris ubi itu, comfirm jari ni terhiris sekali. Cepat dan nampak mudah saja ibu lakukan. Saya kalau nak mengupas atau menghiris mesti gunakan dulang. Tapi ibu, tidak.
|
Ubi Keladi direbus.. |
Ubi keladi tadi direbus terlebih dahulu. Kata ibu untuk hilangkan lendir dan gatalnya. Rebus jangan sampai jadi lembik pula. Agak-agak bertukar warna ok lah tu. Atau pun bila nampak berbuih bolehlah diangkat, ditoskan kemudian dicuci dengan air bersih.
Selepas itu cuci beras agak-agak dalam empat lima gelas macam tu. Jika inginkan rasa ubi keladi lebih, beras kena kurangkan sikit. Kakak lebih suka makan Nasi Linopot yang ubi keladinya banyak. Begitu juga saya. Rasa sedap dan wangi bila dimakan. Setelah beras dicuci sukat airnya macam masak nasi biasa, barulah ubI dimasukkan. Letak rata dibahagian atas. Kemudian bubuh sedikit air lagi. Selepas itu masak dengan api yang sederhana. Setelah masak baru digaul menggunakan Gigiyu.
|
Kayu Gigiyu |
Kayu berbentuk leper panjang. Itu lah yang saya sebutkan tadi,
'Gigiyu'.. Alat ini diperbuat daripada sejenis kayu. Digunakan untuk menggaul nasi dan ubi hingga sebati dan mampat. Dulu masa kecil-kecil selalu nampak arwah nenek gunakanya bila buat Nasi Linopot. Sampai sekarang masih lagi tersimpan elok. Kayu Gigiyu ini juga mengingatkan saya tentang kisah Burung Wodik yang selalu nenek ceritakan dulu.
Sepatutnya dibungkus dalam daun. Nasi diletak atas daun dan dibentuk menjadi bulat. Kemudian dibungkus. Daun yang selalu ibu gunakan ialah daun Tarap. Ada juga daun yang lain biasa digunakan, tapi saya tidak ingat namanya. Oleh kerana daun tiada, jadi makan sajalah menggunakan piring. Makan bersama dengan
Ikan Terubuk Masin Sarawak yang digoreng kering oleh abang ipar. Memang sedap dan menyelerakan. Lagi bertambah berselera bila makan beramai-ramai bersama keluarga. Untuk Ibu tersayang, terima kasih kerana masakkan Nasi Linopot untuk kami..^^..