YwkvRmuKGCTYn_F5guLVG8pAhRA

Monday, August 5, 2013

Kemas-Mengemas

Sedang kemas-mengemas pakaian untuk seminggu di kampung Mr.Sawo. Bertolak 8hb ini nanti. Masukkan apa yang perlu ke dalam beg besar. Kalau orang tengok beg yang saya gunakan ini, macam pindah rumah pula. 

Sambil kemas-mengemas sambil juga fikirkan kuih yang belum siap dibuat. Masih sempat lagi buat satu jenis kuih malam ini. Lama juga kerja kemas-mengemas tadi, sebab ada gangguan tangan comel si kecil yang semakin bijak sekarang. Sudah dilipat kemas-kemas dan masukkan dalam beg, dikeluarkan pula satu persatu semula oleh si kecil Nur Maryam..adeh..terpaksa lipat semula..

Sedang kemas-mengemas juga, terbayang-bayang kuih makmur dan Lamban buatan ibu mertua. Dua benda ni memang tidak pernah tidak ada setiap Hari Raya. Berhenti membayang dan cepat-cepat tarik zip beg sebelum si kecil bertindak mengeluarkannya semula. Sambung balik kerja kemas-mengemas ni esok hari. Masih banyak yang belum terkemas lagi.


Kepada sahabat-sahabat semua, saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri..:)..Maaf dipohon kalau ada tersalah silap dalam entry ataupun terkasar bahasa dalam komen di entry korang semua..Terima kasih banyak-banyak kepada korang semua sebab selalu datang berkunjung di sini..

Sunday, August 4, 2013

Biskut Ulat Bulu

Biskut Ulat Bulu ini antara kuih kegemaran saya dan juga anak-anak..Dan menjadi salah satu biskut yang mesti ada di Hari Raya. Saya mula belajar buat biskut ini dari sepupu saya. Nama agak pelik tapi rasanya sangat sedap dan tiada rasa gatal hehe..

Ini bahan-bahannya:
  1. 1 cawan tepung jagung (ayak)
  2. 2 cawan tepung gandum (ayak)
  3. 1 buku mentega
  4. 3 biji kuning telur
  5. 1 sudu esen vanila
  6. 1 sudu perisa pandan
  7. Pewarna hijau
  8. Gula halus untuk ditabur
  9. Kurma untuk inti

Cara buat mudah sahaja:
  • Pukul mentega bersama-sama telur kuning sampai kembang.
  • Masukkan perisa pandan, esen vanilla dan sedikit pewarna hijau. Kemudian pukul. Pewarna tu jangan banyak sangat nanti terlebih hijau pula nanti.
  • Masukkan tepung Jagung dan tepung gandum sedikit demi sedikit. Agak-agaklah adunan boleh dibentuk. Tepung gandum tu tidak perlu dihabiskan.
  • Ambil doh sebesar duit 50 sen. Kasi leper dan masukkan inti kurma.
  • Gulung dan bentukkan memanjang dan tekan gunakan garfu. Kalau mahu cantik bentuknya, letak atas(tengah)tapak tangan dan genggam tangan. Jangan kuat-kuat terkeluar pula nanti intinya..
  • Masukkan dalam loyang dan bakar dalam suhu 170 selama 15-20 minit. 
  • Taburkan gula halus pada biskut sebagai bulunya..:)

Akak jiran depan rumah kata tabur ketika biskut tu suam-suam supaya gula halus tu melekat dengan cantik. Tapi saya tabur masa biskut ni sudah sejuk. Sudah masuk bekas baru tahu petua ni huhu..

resepi biskut ulat bulu
Dua Puteri yang rajin sedang membentuk jem nanas..

Boleh juga guna inti jem nanas. Akak tadi tu yang tunjukkan. Saya cuba dan sedap juga rasanya. Inti kurma atau inti jem nanas bagi saya kedua-duanya pun sedap di makan.. 

biskut ulat bulu
Biskut Ulat Bulu

Dengan bantuan dua orang puteri di atas tu, maka terhasillah Biskut Ulat Bulu untuk Hari Raya tahun ini. Terima kasih puteri-puteri yang ringan tulang kerana telah membantu menghasilkan Biskut kaler ijau ni..:)

p/s: Lagi sedap jika ditambah minyak sapi..Kira-kira 4 sudu macam tulah

Cerita Lalu:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...