YwkvRmuKGCTYn_F5guLVG8pAhRA

Thursday, June 12, 2014

Nasi Linopot

Nasi Linopot... Pernah dengar?..

Ini merupakan salah satu resepi tradisional kegemaran saya. 'Linopot' dalam sebutan bahasa Dusun yang bermaksud dibungkus. Nasi ditanak bersama dengan ubi keladI/keledek/kayu/manis. Selepas dimasak ia akan digaul hingga nasi dan ubi menjadi sebati. Satu alat khas berbentuk leper panjang yang dipanggil 'Gigiyu' digunakan untuk menggaul. Selepas itu ia akan dibungkus (Linopot) menggunakan daun.

Sewaktu di kampung minggu lalu, Ibu tunjukkan cara-cara bagaimana hendak membuat Nasi Linopot ini. Ini sebenarnya atas permintaan anak-anaknya yang teringin sangat mahu makan Nasi Linipot. Ibu dengan gembira tunjukkan cara-caranya. Siap suruh saya rakamkan lagi hehe..

Ubi keladi..
potong tangkai..kupas dan hiris

Ibu gunakan ubi keladi untuk dicampurkan dalam Nasi Linopot ini. Ubi ini ibu tanam sendiri di kebun kecilnya. Ubi keladi sudah sedia dibersihkan. Tinggal dipotong dari tangkainya. Tangkainya pula ibu simpan untuk ditanam balik. Lepas itu kulit ubi keladi dikupas kemudian dihiris tebal. Kalau ikut cara ibu menghiris ubi itu, comfirm jari ni terhiris sekali. Cepat dan nampak mudah saja ibu lakukan. Saya kalau nak mengupas atau menghiris mesti gunakan dulang. Tapi ibu, tidak.

Ubi Keladi direbus..

Ubi keladi tadi direbus terlebih dahulu. Kata ibu untuk hilangkan lendir dan gatalnya. Rebus jangan sampai jadi lembik pula. Agak-agak bertukar warna ok lah tu. Atau pun bila nampak berbuih bolehlah diangkat, ditoskan kemudian dicuci dengan air bersih.

Selepas itu cuci beras agak-agak dalam empat lima gelas macam tu. Jika inginkan rasa ubi keladi lebih, beras kena kurangkan sikit. Kakak lebih suka makan Nasi Linopot yang ubi keladinya banyak. Begitu juga saya. Rasa sedap dan wangi bila dimakan. Setelah beras dicuci sukat airnya macam masak nasi biasa, barulah ubI dimasukkan. Letak rata dibahagian atas. Kemudian bubuh sedikit air lagi. Selepas itu masak dengan api yang sederhana. Setelah masak baru digaul menggunakan Gigiyu.

Kayu Gigiyu

Kayu berbentuk leper panjang. Itu lah yang saya sebutkan tadi, 'Gigiyu'.. Alat ini diperbuat daripada sejenis kayu. Digunakan untuk menggaul nasi dan ubi hingga sebati dan mampat. Dulu masa kecil-kecil selalu nampak arwah nenek gunakanya bila buat Nasi Linopot. Sampai sekarang masih lagi tersimpan elok. Kayu Gigiyu ini juga mengingatkan saya tentang kisah Burung Wodik yang selalu nenek ceritakan dulu.

Nasi Linopot &
  Ikan Terubuk Masin Sarawak
Sepatutnya dibungkus dalam daun. Nasi diletak atas daun dan dibentuk menjadi bulat. Kemudian dibungkus. Daun yang selalu ibu gunakan ialah daun Tarap. Ada juga daun yang lain biasa digunakan, tapi saya tidak ingat namanya. Oleh kerana daun tiada, jadi makan sajalah menggunakan piring. Makan bersama dengan Ikan Terubuk Masin Sarawak yang digoreng kering oleh abang ipar. Memang sedap dan menyelerakan. Lagi bertambah berselera bila makan beramai-ramai bersama keluarga. Untuk Ibu tersayang, terima kasih kerana masakkan Nasi Linopot untuk kami..^^..

Tuesday, June 10, 2014

Jalan-Jalan Ke Desa Cattle, Mesilau, Kundasang

Hujung minggu lalu, kami sekeluarga balik kampung. Ambil kesempatan bawa anak-anak jalan-jalan ke Desa Cattle, Ladang Tenusu yang terletak di Mesilau, Kundasang. Perjalanan dari kampung saya ke Kundasang lebih kurang dalam 15 minit. Dekat saja kan..^^

desa cattle Mesilau, Kundasang
Ke Desa Cattle, Ladang Tenusu, Mesilau, Kundasang.

Pic paling atas anak yang ambil semasa lalu di round about dekat dengan Pekan Kundasang. Menuju ke Desa Cattle ini kena lalu jalan bukit kerana tempat ini berada nun di atas bukit. Betul-betul berada dibawah kaki Gunung Kinabalu. Jauh dari kesibukan kota. Jauh dari jalan utama. Perjalanan menuju ke Desa Cattle ini memang menyeronokkan. Udaranya sejuk, segar dan nyaman. Tidak perlu pasang aircond dalam kereta. Buka tingkap dan nikmati udara sejuk semulajadinya. Bayaran masuk ke Desa Cattle ini cuma RM4, dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Bawah 2 tahun, Percuma. Masa beli tiket ini, cik adik tu kata susu sudah habis. Sedikit kecewa tapi tetap masuk juga.

Desa Cattle, Mesilau ,Kundasang
Menuju ke kandang lembu.
Hijau segar rumput-rumputnya.

Sewaktu sampai, parking penuh. Susah juga nak mencari parking. Hujung minggu dan cuti sekolah, memanglah sesak sebab pengunjung ramai datang. Lepas dapat tempat parking kereta, kami turun menuju ke kandang lembu. Ada satu alat disediakan atas laluan ini. Lembab berisi air. Sekejap saja berada di sini. Ramai orang ketika ini. Saya lihat dari jauh saja. Ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk memberi makan lembu di kandang itu.

Desa Cattle ,Mesilau,Kundasang
Kedai Desa Cattel, Mesilau Kundasang

Singgah di Kedai Desa Cattle. Berbaris pengunjung shoping-shoping disini. Ada macam-macam yang dijual. Keychain, tshirt, aiskrim dan semestinya susu segar yang paling mendapat sambutan. Di sebelah kiri kedai ini ialah tempat memproses susu segar. Tapi pengunjung tidak boleh masuk. Cuma boleh lihat dari luar melalui tingkap kaca dalam kedai ini.

Desa Cattle ,Mesilau ,Kundasang
Lembu-lembu sedang bersantai-santai
sambil meragut rumput

Sewaktu hendak pulang, berhenti di tepi ladang sekejap. Ambil peluang untuk melihat lembu-lembu sedang meragut rumput yang segar menghijau itu. Anak-anak sangatlah seronok melihat lembu-lembu ini. Maklumlah jarang sekali melihat lembu sebanyak ini. Sedikit jakun bila nampak begini banyak di dalam ladang yang sangat luas ini. Kalau hendak melihat lembu-lembu ini, datanglah sebelah pagi. Sebelah petang jam 3pm, pasti tidak kelihatan kerana ketika itu merupakan masa untuk memerah susu lembu.


Desa Cattle ,Mesilau,Kundasang
"Mummy..tengok...lembu besar"...

Si Hero bongsu, Yusuf. Tidak puas hati lalu panjat pagar supaya dapat melihat lembu-lembu itu. Nampak lembu yang berdiri di depan itu.. Itu lah yang nak sangat ditengoknya. Lembu tu pula macam faham dirinya jadi perhatian...hehe..Rasanya lembu-lembu ini pun sudah biasa dengan para pengunjung yang datang ke sini.

Desa Cattle,Mesilau,Kundasang
Memerhati..

Jika ada kesempatan nak lagi datang jalan-jalan ke Desa Cattle, Mesilau, Kundasang dengan anak-anak. Pemandangan dan udara nyaman segar disini memang menyeronokkan dan menenangkan fikiran..^^

Cerita Lalu:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...